SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) akan terus kekal berprinsip dan dengan tegas menolak tawaran yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tawaran tersebut ibarat rasuah jawatan demi mendapatkan sokongan yang hanya menguntungkan diri Muhyiddin sendiri.
"Sudah terang lagi bersuluh, ini usaha terdesak Mahiaddin (Muhyiddin) bagi mengekal kuasa dengan cara yang cukup tidak bermaruah.
"Beliau tidak berhak membuat tawaran seperti itu kalaupun mempunyai keabsahan sebagai perdana menteri, apatah lagi setelah hilang sokongan majoriti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mukhriz berkata, Muhyiddin sepatutnya menghormati Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dan meletakkan Jawatan sebagai perdana menteri.
Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.
Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.
Pada masa yang sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.
Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.
Perutusan itu dibuat ekoran timbul dakwaan berhubung status keabsahan beliau sebagai perdana menteri sudah tiada kerana kehilangan majoriti.