Yob Hijrah berjaya ditangkap Perhilitan Perak

Iklan
Yob Hijrah berjaya ditangkap Perhilitan Perak selepas dijejak memusnahkan tanaman penduduk di Gerik. - Foto ihsan Perhilitan Perak.

GERIK - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap 'Yob Hijrah', seekor gajah liar yang tersesat di Kampung Air Jada di sini pada Selasa lalu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, nama Hijrah diberikan apabila gajah jantan dianggarkan berusia 20 tahun itu ditangkap pada hari sambutan Maal Hijrah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Unit Tangkapan Gajah (UTG) Gerik berjaya mengesan mamalia itu selepas menerima aduan kerosakan tanaman penduduk.

"Gajah itu ditangkap kira-kira jam 10 pagi selepas dijejak hampir dua jam. Kita menerima aduan kehadiran seekor gajah yang merosakkan tanaman penduduk seperti dokong, langsat dan durian pada Ahad lalu.

Iklan

"Gajah seberat 1.5 tan itu dikenalpasti dari kumpulan Papulut terdiri daripada empat hingga lima ekor. Yob Hijrah bagaimanapun terkeluar daripada kumpulannya dan memasuki kawasan rancangan merah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Yusoff berkata, Yob Hijrah dijadualkan untuk dipindahkan ke habitat asalnya di Hutan Royal Belum pada Sabtu.

Iklan

"Perhilitan Perak bersama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang akan melakukan operasi pemindahan gajah berkenaan.

"Gajah denak iaitu Alam dan Abot didatangkan untuk memujuk Yob Hijrah sebelum dihantar ke Hutan Royal Belum," katanya.