Selangor laksana Program Rebat Elektrik RM40

Iklan
Amirudin menjawab soalan pemberita ketika sidang media hari ini.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang menyelaras pelaksanaan Program Rebat Elektrik RM40 di negeri ini dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) ini bakal memberi manfaat kepada 8,836 isi rumah di negeri ini dengan tambahan 2,262 penerima layak mendapat rebat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, menerusi sidang Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) sebelum ini, Mestecc telah membuat pembentangan mengenai pelaksanaan itu dan kerajaan negeri telah meluluskan inisiatif berkenaan dengan beberapa cadangan untuk diambil tindakan susulan selepas ini.

"Buat masa ini, senarai penerima sedang mula didaftarkan dan pelaksanaan bagi pemberian inisiatif tersebut dijangka akan dibuat dalam tempoh masa terdekat," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Bilik Gerakan MTES hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut mengenai syarat-syarat pemberian rebat tersebut, Amirudin berkata pengguna yang layak mendapat inisiatif ini adalah merupakan ketua isi rumah miskin tegar dan disahkan di dalam sistem eKasih.

Beliau berkata, penerima yang layak akan menerima rebat RM40 setiap bulan sepanjang tahun ini.

Iklan

"Pemberian ini akan diuruskan sepenuhnya oleh Mestecc dan kerajaan negeri hanya bertindak untuk menyelaraskan penerima," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata Kerajaan Selangor turut bersetuju mewujudkan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (Anis) dengan matlamat bagi membantu meringankan beban ibu-bapa atau penjaga.

Beliau berkata penerima manfaat ini adalah daripada kalangan ibu bapa atau penjaga kepada orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mereka boleh membuat permohonan dengan mengisi boran di 56 Pusat Khidmat Masyarakat Dun seluruh Selangor dan laman sesawang Kerajaan Selangor," katanya.