KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 (HKHM 2021) sekali lagi disambut secara norma baharu namun dengan menampilkan kelainan melalui penggunaan teknologi komunikasi digital lebih maju, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek.
Beliau berkata, selain mengoptimumkan keupayaan teknologi digital, sambutan itu tidak akan melibatkan persembahan perbarisan dan kebudayaan seperti kelazimannya, selain tempoh program turut dipendekkan kepada hanya 50 minit.
Katanya, seperti tahun lepas, sambutan pada tahun ini juga tidak melibatkan kehadiran orang awam secara fizikal dan dilaksanakan dalam skala kecil.
"Seluruh Malaysia akan menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini di rumah masing-masing dan kita menggunakan teknologi digital realiti gabungan, seperti realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR) yang lebih advance kali ini.
"Hanya ada empat persembahan secara fizikal termasuk pertunjukan udara yang kita yakin rakyat tetap terhibur, walaupun hanya melihatnya menerusi televisyen,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan bagi Program Ruang Bicara disiarkan di Bernama TV, malam Jumaat.
Sambutan Hari Kebangsaan 2021 akan diadakan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada 31 Ogos, manakala Sambutan Hari Malaysia diraikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 16 September.
Mohammad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan HKHM 2021 berkata, walaupun acara dibuat pada skala kecil, langkah keselamatan dan pencegahan penularan Covid-19 tetap diutamakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Jelasnya, semua peserta terlibat dan individu yang hadir secara fizikal pada sambutan itu diwajibkan lengkap dua dos vaksin selain perlu menjalani saringan calitan Covid-19.
"Setakat hari ini, kira-kira 97 peratus individu terlibat telah lengkap dua dos vaksin malah mereka turut diasingkan mengikut gelembung keselamatan (safely bubble) masing-masing di lokasi berasingan,” katanya.
Beliau turut optimis semangat patriotisme rakyat tidak akan luntur dan mampu diterjemahkan pada sambutan tahun ini, walaupun negara masih berdepan impak penularan pandemik itu. - Bernama