PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri merupakan antara calon yang boleh dipertimbangkan bagi mengisi kelompongan ditinggalkan Leong Mun Yee dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Bekas Olimpian, Bryan Nickson Lomas berpendapat, pengalaman Nur Dhabitah yang pernah bertanding dalam acara 10m platform wanita sebelum ini perlu diberi perhatian Persekutuan Renang Malaysia (MS) untuk digandingkan bersama ratu terjun negara, Pandelela Rinong bagi mencerahkan peluang meraih pingat di Paris 2024.
"Nur Dhabitah merupakan atlet ‘versatile’ (serba boleh) kerana jarang sekali penerjun boleh bersaing dalam dua acara, 10m platform dan 3m papan anjal.
"Tidak mustahil jika Nur Dhabitah tersenarai kelak, beliau bersama pasangannya mungkin boleh mencabar kedudukan pingat dalam acara 10m platform seirama wanita,” katanya ketika dihubungi.
Mun Yee yang bergandingan bersama Pandelela dalam acara 10m platform seirama wanita pada Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini, tidak berjaya menyerlah apabila sekadar menamatkan acara berkenaan di tempat kelapan dan terakhir.
Nur Dhabitah bersama Mun Yee pernah meraih gangsa dalam acara 10m platform seirama wanita pada Sukan Asia 2018 di Indonesia.
Mun Yee, 36, sebelum ini melahirkan hasrat akan bersara pada hujung tahun ini dengan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi penampilan terakhirnya di pentas antarabangsa.
Sementara itu, Bryan, 31, yakin sekiranya Nur Dhabitah mampu mengekalkan tahap konsistensi dan terjunan cantik selain melakukan darjah kesukaran dengan sempurna, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu mampu menghadiahkan pingat buat negara dalam acara 3m papan anjal wanita individu di Paris 2024.
Walaupun terlepas peluang meraih pingat pada acara 3m papan anjal wanita individu selepas menduduki tangga keempat di Olimpik Tokyo, Nur Dhabitah yang tidak pernah lekang dengan senyuman sepanjang saingan berlangsung berjaya menambat hati rakyat Malaysia susulan aksi konsisten dipamerkannya di Pusat Akuatik Tokyo.
Dalam pada itu, Bryan yang mencatat sejarah menjadi atlet termuda negara bertanding pada temasya edisi Athens 2004 ketika berusia 14 tahun, percaya Pandelela akan terus mengetuai cabaran Malaysia di Paris 2024.
Pemilik sebuah gimnasium di Shah Alam, itu berkata, pemenang gangsa London 2012 itu masih mampu menghasilkan terjunan berkualiti walaupun Pandelela, 28, bakal menginjak ke usia 31 tahun dalam masa tiga tahun akan datang.
Beliau pada masa sama menyifatkan nasib sememangnya tidak menyebelahi kem terjun negara apabila tidak berupaya membawa pulang sebarang pingat berbanding dua edisi sebelum ini yang berjaya membawa pulang gangsa pada London 2012 dan perak di Rio 2016.
Jelasnya, beliau secara peribadi masih boleh menerima keputusan dicatatkan barisan atlet terjun negara namun sesuatu harus dilakukan sekiranya mereka tidak merangkul sebarang pingat pada Paris 2024. - Bernama