PIHAK Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Petronas pada Sabtu mengumumkan bahawa kedua belah pihak bersetuju untuk menamatkan perjanjian kerjasama pada penghujung saingan MotoGP musim 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, penamatan perjanjian kerjasama, itu turut menyaksikan Petronas turut menamatkan kerjasama dengan pihak Petronas Sprinta Racing dalam saingan Moto2 dan Moto3 sejak 2018 lalu sebelum kerjasama itu berkembang hingga ke saingan MotoGP.
"Secara keseluruhannya, kami menghormati penamatan kerjasama ini yang telah dimetrai sejak 2018 lalu dan kami ucapkan terima kasih kepada Petronas atas segala sokongan yang diberikan kepada SIC, selama ini.
"Selama kerjasama ini berlangsung, banyak pencapaian yang telah dikecapi bersama selain beberapa objektif telah pun berjaya dicapai.
"Oleh itu, penamatan kerjasama ini diharap bukanlah pengakhiran bagi kolaborasi dalam sukan permotoran kerana kami akan meneruskan pencarian bakat-bakat baharu di seluruh negara dan dalam masa sama, kami juga akan umumkan kerjasama baharu bagi musim 2022, kelak,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Sabtu.
Sementara itu Ketua Komunikasi Strategik Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, pihaknya turut berbangga menerusi kerjasama dengan SIC selama ini terutamanya dari segi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menjadikan mereka sebagai antara pesaing utama dalam pasaran hari ini.
Selain itu katanya, kerjasama berkenaan telah mencipta beberapa kejayaan dan sekali gus menjadi penanda aras bagi kejayaan kerjasama ini dalam sukan permotoran.
"Bagi pihak PETRONAS, kami merakamkan setinggi penghargaan atas segala komitmen yang diberikan hingga menjadikan kerjasama ini satu kejayaan,” katanya.