SHAH ALAM - Parti pembangkang tidak wajar menolak tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan demi masa depan rakyat dan negara.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, ini kerana tawaran itu bukan bersifat retorik tetapi membuka ruang kerjasama semua pihak dalam mewujudkan kestabilan politik dan pemerintahan dalam negara.
"Persefahaman rentas parti ini adalah kenyataan seorang pemimpin yang berjiwa besar yang memikirkan soal kemajuan negara, bukannya untuk menjaga kepentingan peribadi.
"Cadangan itu adalah peluang untuk membina kerjasama antara parti dan mengembalikan negara ke landasan yang lebih stabil dalam memulihkan kesihatan dan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, kesan pembaharuan itu jika dilaksanakan bukan saja akan mengubah landskap politik negara pada hari ini malah untuk beberapa generasi akan datang.
Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.
Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.
Pada masa yang sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.
Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.
Perutusan itu dibuat ekoran timbul dakwaan berhubung status keabsahan beliau sebagai perdana menteri sudah tiada kerana kehilangan majoriti.
ARTIKEL BERKAITAN:Muhyiddin tawar kerjasama merentas parti