JASIN - Seramai 44 orang asli dari lima perkampungan di daerah ini yang sebelum ini enggan mengambil vaksin Covid-19, berubah fikiran dan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Alamanda Majlis Perbandaran Jasin di sini pada Sabtu.
Dolah Rochok, 60, dari suku Temuan berkata, pada pertengahan bulan lalu, dia tidak hadir slot janji temu suntikan kerana terpengaruh dengan cerita tidak benar mengenai vaksin.
Bagaimanapun, katanya, selepas dinasihatkan anak-anaknya, akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil dos pertama bersama rakan-rakan lain pada Sabtu.
"Kalau bulan lalu saya ambil dos vaksin ini, mungkin sekarang saya telah lengkap dua dos vaksin.
"Pelbagai cerita yang menakutkan mengenai vaksin, sebab itu saya tak mahu disuntik. Tapi rupanya sekejap sahaja untuk proses suntikan, dah selesai pun dan saya tak rasa sakit," kata bapa kepada lima orang anak itu kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Seorang lagi orang asli, Malini Latif, 23, berkata, kerana terpengaruh dengan perkara negatif mengenai vaksin di media sosial, dia juga menolak untuk menerima vaksin sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, selepas diberikan penjelasan lanjut berhubung program vaksinasi, dia yakin vaksin begitu penting dalam mengekang penularan Covid-19.
"Saya tengok suami saya yang sudah menerima dos vaksin tidak mengalami sebarang masalah. Jadi saya yakin vaksin ini bukanlah sesuatu yang bahaya," katanya.
Sementara itu, Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Alor Gajah dan Jasin, Adzrien Ab Rahim berkata, seramai 535 masyarakat orang asli di daerah ini yang layak menerima vaksin.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 374 individu telah lengkap dua dos suntikan.
"Setakat ini program vaksinasi di Jasin telah mencapai hampir 70 peratus dan sambutan dalam kalangan orang asli semakin memberangsangkan," jelas beliau.
Antara kampung orang asli terlibat dalam program vaksinasi itu ialah Bukit Seraya, Gapam, Air Sialang, Solok Terentang dan Lubok Bandung.