Individu yang dikaitkan dengan ORIC hanya penasihat

Iklan
ORIC projek mega di Langkawi yang akan dibangunkan hasil kerjasama antara PKB dan Open Road. (Gambar kecil: Abdul Rahman)

ALOR SETAR - Individu bernama Goh Hock Choy yang menjadi pertikaian melibatkan Projek Open Road International Circuit And Integrated Resorts (ORIC) bukanlah pengarah syarikat mahupun pemegang syer Open Road Asia Sdn. Bhd. (Open Road).

Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad (PKB), Abdul Rahman Din berkata, sebaliknya dia merupakan pengasas Open Road yang kini hanya bertindak selaku penasihat bagi aktiviti perniagaan syarikat berkenaan.

Iklan
Iklan

Katanya, susulan itu, perjanjian bagi projek usaha sama ORIC yang termeterai antara PKB dan Open Road tidak melibatkan tandatangan individu berkenaan sama sekali.

"Malah PKB telah menjalankan proses 'due diligence' yang sewajarnya dan mendapati Open Road adalah syarikat yang berkemampuan, bukan syarikat yang muflis serta pengarah-pengarah syarikat bukanlah individu yang berstatus muflis seperti didakwa segelintir pihak," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau juga menyangkal kononnya timbul isu penganugerahan projek secara terpilih atau istimewa.

"Ini kerana memandangkan melalui perjanjian projek usaha sama tersebut, Open Road selaku pemaju adalah pihak yang bertanggungjawab penuh bagi menyediakan dana dan menanggung kesemua kos pembangunan di atas hartanah milik PKB," katanya.

Iklan
Abdul Rahman ( kiri) ketika Sesi menandatangani perjanjian usahasama pada Mac lalu yang turut dihadiri Muhammad Sanusi.

Abdul Rahman menambah, PKB sentiasa bersedia untuk memberikan penerangan kepada mana-mana pihak mahupun orang awam berkenaan projek- projek PKB.

"Kami juga ingin menasihati semua pihak agar terlebih dahulu mendapatkan kepastian berkenaan sesuatu isu sebelum menyebarkannya kepada pihak lain," katanya.

Pada Khamis, ahli PKR cabang Sungai Siput, Indrani Selvakumar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendakwa Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyalahgunakan kuasa dalam pemberian sebuah projek berkaitan sektor pelancongan negeri.

Dia mendakwa mempunyai bukti projek bernilai tinggi itu dianugerahkan kepada sebuah syarikat dan pengasasnya, yang juga antara pengarah syarikat tersebut telah muflis.

Dalam kenyataan balas, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa kerajaan Kedah tidak pernah menganugerahkan sebarang projek bernilai RM1.3 bilion kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata, sebaliknya litar lumba yang akan dibangunkan oleh sebuah syarikat di Langkawi adalah projek pelaburan syarikat swasta yang menjalin kerjasama dengan PKB sebagai pemilik tanah.