PARIT - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggesa agar ibu mengandung diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah itu bagi mengurangkan risiko jangkitan virus berkenaan kepada wanita hamil dan anak dalam kandungan susulan beberapa kes positif Covid-19 yang telah dilaporkan membabitkan golongan itu sebelum ini.
Menurut beliau, daripada rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat hampir 150,000 ibu mengandung telah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin Covid-19, namun setakat ini sekitar 60 peratus daripada mereka baharu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
"Setiap hari kita dengar kes Covid-19 dan cara untuk elak atau mengurangkan jangkitan ini tidak ada cara lain melainkan dapatkan vaksin.
"Bagi kes ibu mengandung, kerajaan telah pun berikan keutamaan kepada mereka yang usia kandungannya antara 14 sehingga 33 minggu mendapatkan vaksin di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas seperti di PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid (Petaling Jaya) yang saya lawati dahulu.
"Jadi kita berharap ibu-ibu mengandung yang telahpun mendaftar dalam MySejahtera ini akan terus diberikan keutamaan mendapatkan vaksin kerana vaksin yang diberikan itu bukan sahaja untuk wanita hamil tetapi anak dalam kandungannya juga," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau dan memantau pengoperasian Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar di sini pada Sabtu.
Rina berkata, kementeriannya akan mempergiat program advokasi ke seluruh negara untuk menggalakkan lebih ramai wanita hamil ini tampil menerima suntikan imunisasi masing-masing.
Katanya, daripada pemantauan dibuat, terdapat segelintir ibu mengandung masih berasa ragu dengan kesan suntikan berkenaan dan terdapat juga ahli keluarga serta suami yang tidak memberikan keizinan.
"Dalam hal ini pemimpin masyarakat dan pertubuhan wanita juga digalakkan untuk memainkan peranan menyebar luas kepentingan mendapatkan suntikan vaksin khususnya dalam kalangan ibu mengandung.
"Ada ramai ibu mengandung yang telah dapatkan suntikan vaksin, jadi kita minta mereka yang lain agar tidak ragu-ragu dan tidak takut kerana apa yang kerajaan lakukan ketika ini adalah demi keselamatan mereka serta anak yang sedang dikandung," katanya.
Dalam perkembangan lain, Rina berharap proses vaksinasi kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang akan dimulakan kerajaan dapat dilaksanakan sebelum sesi persekolahan dibuka.
Menurut Rina, golongan berkenaan yang merupakan pelajar sekolah adalah tidak terkecuali daripada mendapat virus Covid-19.
"Saya kira sejak awal lagi sebelum kerajaan ambil keputusan ini, saya telahpun gesa agar kanak-kanak juga diberikan vaksin kerana mereka tidak terkecuali mendapat virus ini.
"Daripada apa yang diumumkan kerajaan, proses itu belum dilaksanakan tetapi akan dibuat secara berperingkat setelah mendapat khidmat nasihat daripada pakar-pakar.
"Di pihak kementerian, kalau nak buka sekolah terutamanya seperti yang dibuat kerajaan sekarang ini (cadangan buka sekolah pada 1 September), kita harapkan kumpulan ini diberikan vaksin sebelum atau apabila sekolah dibuka nanti," katanya.