SERAMAI 288 peserta dari 64 pasukan bakal berentap pada Liga e-Sukan Malaysia 2021 (MEL21) setelah muncul juara bagi MEL21 peringkat negeri yang berlangsung mulai 10 Julai hingga 8 Ogos lalu.
Ketika mengumumkan perkara berkenaan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kesemua pemenang berkenaan kini berpeluang bersaing pada MEL21, peringkat kebangsaan, mulai 14 Ogos hingga 1 September depan.
"MEL21 secara keseluruhannya adalah sebahagian daripada Pelan Rangka Tindakan e-Sukan dan melalui inisiatif e-Sports Integrated (ESI), MEL21 peringkat negeri diadakan buat julung kalinya mulai 10 Julai hingga 8 Ogos lalu dan setelah itu, MEL21 peringkat kebangsaan (Nationals) pula bakal berlangsung mulai 14 Ogos hingga 1 September.
"Saya ingin mengucapkan tahniah dan mendoakan kejayaan kepada juara-juara peringkat negeri yang akan bersaing di MEL21 Nationals.
"Ini merupakan titik permulaan anda untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi, sekaligus membuka peluang untuk anda mewakili negara di masa hadapan,” katanya pada Sabtu.
Difahamkan, kesemua peserta ini akan mewakili negeri masing-masing (13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan) pada MEL21 Nationals bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 bagi setiap kategori.
Untuk rekod, kategori-kategori yang akan dipertandingkan pada MEL21 Nationals adalah melibatkan PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGM), Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), EA Sports FIFA21 dan Dota 2.
MEL21 yang dianjurkan oleh ESI dengan kerjasama 16 buah persatuan e-sukan negeri menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM200,000 kepada peserta bertuah.
Sementara itu, difahamkan hampir 30,000 peserta difahamkan telah mendaftar untuk menyertai MEL21 yang bakal dilaksanakan secara dalam talian mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) – Fasa 1.
Sebelum ini perlawalnan MEL21 mendapat tontonan 200,000 penonton menerusi platform kejohanan e-Sukan kebangsaan, esukan.gg dan melalui laman facebook ESI dan tontonan dijangka meningkat ke 100,000 pada MEL21 Nationals, kelak.
MEL21 Nationals akan disiarkan secara langsung di www.esukan.gg dan laman Facebook ESI.