AMPANG - Seramai 140 daripada 200 usahawan India menerima manfaat bantuan geran peralatan di bawah Program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) sejak permohonan inisiatif tersebut dibuka pada tahun 2019.
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, kerajaan Selangor akan menyelesaikan baki penerima geran tersebut untuk disampaikan kepada mereka menjelang Oktober ini.
Menurutnya, penyerahan barangan yang dibuat secara berperingkat tertangguh daripada perancangan asal akibat penularan pandemik Covid-19.
"Kita juga akan menyarankan mereka mengambil bantuan pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) dan pembiayaan Skim Go Digital untuk membantu perniagaan ketika musim pandemik,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Penyampaian Geran Peralatan Sitham Hijrah Selangor di Pusat Sehenti Sitham di Ampang Jaya di sini pada Sabtu.
Pada program itu, Rodziah turut menyerahkan geran peralatan Sitham kepada dua orang penerima berupa sebuah motosikal bagi membantu memudahkan urusan perniagaan mereka.
Sementara itu, Rodziah berkata, geran tersebut bernilai RM10,000 maksimum dan pihak Sitham akan membuat rundingan serta konsultasi dengan pemohon berhubung keperluan yang sepatutnya dalam perniagaan mereka.
Katanya, hampir RM1.2 juta diperuntukan sepanjang Sitham diperkenalkan dan 60 peratus daripada jumlah tersebut untuk geran bantuan peralatan berkenaan.
"Kebanyakan pemohon merupakan peniaga dalam sektor makanan dan minuman, namun saya teruja terdapat juga antara mereka terlibat dalam sektor permotoran, kimpalan dan fotografi.
"Saya harap tahun ini pihak Sitham boleh mencapai 2,000 peniaga baharu untuk kita lihat keperluan mereka untuk berniaga,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang penerima geran, Sivaneshwaran Rajasakaran, 35, berkata, dia memohon bantuan tersebut sejak setahun lalu untuk memudahkan perniagaan susu segarnya di kandang miliknya di Batu Arang, Rawang.
Dia yang mengusahakan perniagaan tersebut hampir sembilan tahun berkata, permohonannya telah diluluskan sekian lama, namun proses penyerahan peralatan tersebut terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
"Sebelum ini, saya mempunyai motosikal tapi ia berusia lebih 10 tahun dan sering rosak, jadi sukar untuk saya menghantar susu-susu tersebut kepada pelanggan sekitar Lembah Klang.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Sitham dan Rodziah untuk pemberian motosikal pada hari ini. Ada lagi peralatan lain seperti tong susu, pemotong rumput dan pembuat yogurt yang bakal menyusul nanti,” katanya yang tinggal di Kuala Ampang.