BANGKOK - Thailand sudah siap sedia untuk memulakan ujian klinikal vaksin Covid-19 ke atas manusia dan vaksin berasaskan tumbuhan keluaran tempatan itu dijangka dapat digunakan tahun depan.
Vaksin subunit itu dibangunkan Pusat Penyelidikan Vaksin Universiti Chulalongkorn dan Baiya Phytopharm Co Ltd (Baiya Phytopharm).
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata, seramai 100 sukarelawan bakal menyertai percubaan klinikal fasa pertama itu.
Beliau berkata, sukarelawan akan diberikan tiga dos berbeza - 10, 50 dan 100 mikrogram untuk menentukan dos mana yang berkesan dan sesuai untuk orang dewasa.
Katanya, kajian praklinikal pada tikus dan monyet mendapati calon vaksin itu sangat berkesan dalam meningkatkan imuniti haiwan.
"Jika ujian ke atas manusia berjaya, vaksin dijangka siap untuk rakyat Thailand tahun depan.
"Penyelidik menjalankan ujian vaksin itu ke atas 10 varian. Jika ia berjaya, kita mungkin dapat menghasilkan sesuatu yang sama dengan vaksin selesema yang dapat memberikan perlindungan terhadap beberapa varian,” katanya yang dipetik Bangkok Post.
Menerusi kenyataan media, Universiti Chulalongkorn memaklumkan 'Vaksin Baiya' dihasilkan daripada daun oleh Baiya Phytofarm dan diadun dengan daun tembakau dari Australia yang berfungsi sebagai bahan genetik virus bukan patogenik.
Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Baiya Phytofarm, Profesor Madya Dr Sutheera Dejkhunnavuth berkata, Vaksin Baiya untuk Covid-19 adalah vaksin subunit yang telah lama dihasilkan di negara lain menggunakan tumbuhan dan serangga sementara beberapa negara seperti Kanada dan Korea Selatan hanya menggunakan tumbuhan.
"Vaksin ini menggunakan daun tembakau dari Australia (hanya tumbuh di Australia) untuk berfungsi sebagai bahan genetik bukan patogen. Apabila disuntik ke dalam tubuh, vaksin akan meningkatkan daya tahan tubuh kita untuk melawan jangkitan,” kata Dr Sutheera.
'Vaksin Baiya' itu adalah hasil kerja dua penyelidik dari Fakulti Farmasi, Universiti Chulalongkorn - Profesor Madya Dr Suthira Taychakhoonavudh dan Profesor Madya Dr Waranyoo Phoolcharoen.
Suthira berkata, vaksin itu dijangka siap pada pertengahan tahun depan dengan harga 300 hingga 500 baht setiap dos.
Di samping 'Vaksin Baiya', penyelidik di Universiti Chulalongkorn turut membangunkan vaksin Covid-19 sendiri termasuk ChulaCov19, vaksin mRNA yang sudah menjalani ujian klinikal fasa pertama pada Jun.
Sementara itu, Thailand melaporkan 22,086 kes baharu Covid-19 dan 217 kematian dalam tempoh 24 jam lalu. Setakat ini negara ini mencatatkan keseluruhan kes sebanyak 885,275 dengan 7,343 kematian.
Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memaklumkan terdapat 210, 376 pesakit masih dirawat di hospital termasuk 5,590 dalam keadaan kritikal dan 1,151 bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
"Kes kematian terbaru melibatkan 130 lelaki dan 87 wanita berusia antara 20 hingga 94 tahun termasuk 13 warga asing - 10 Myanmar, dua Kemboja dan seorang Switzerland.
"Seramai 18 orang meninggal dunia di rumah - 17 di Bangkok dan satu di Suphan Buri," menurut kenyataan CCSA. - Bernama