SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoal kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung jangkitan Covid-19 harian yang mencecah 21,000 dan kes keseluruhan kini melebihi 1.3 juta dikatakan sebagai menjaga rakyat.
Menurut beliau, pandemik Covid-19 bukan bermula semalam, namun telah lama tetapi kerajaan PN masih berterusan gagal menguruskannya.
"Selepas tidak dapat menyembunyikan kegagalan cuba mengheret nama UMNO pula dalam kegagalan itu.
"UMNO sebagai sebuah parti tidak dilibatkan dalam ketetapan atau dasar dibuat kerajaan PN.
"Namun demi rakyat, UMNO tetap memberi pelbagai cadangan yang kemudian tidak dipeduli atau diperlekehkan,” katanya menerusi tulisan di Facebooknya pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, UMNO tidak sesekali bersetuju bahawa kesemua kematian akibat Covid-19 itu adalah ‘standard’.
"Mungkin sebab itu, ‘jurucakap’ kerajaan PN tidak puas hati dengan Presiden UMNO kerana enggan bersekongkol.
"Jurucakap kerajaan PN marah Presiden UMNO kerap menyebut tentang rakyat semasa mempersoalkan kegagalan itu.
"Mereka kata Presiden UMNO jangan perasan jaga rakyat, sebab mereka dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang betul-betul jaga rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam masa yang sama berkata, sekiranya benar menjaga rakyat, mereka perlu melakukannya dengan betul.