LUAS ambil tindakan kilang cemar Sungai Penchala, bunuh ratusan ikan

Iklan
Ratusan bangkai ikan ditemui di hilir sungai berpunca daripada pencemaran air sungai yang berkemungkinan berlaku sebelum penemuan pada Khamis.

PETALING JAYA - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil tindakan ke atas sebuah kilang yang melepaskan bahan kimia ke dalam Sungai Penchala menyebabkan ratusan ikan mati di sungai tersebut.

LUAS menerusi satu kenyataan berkata, siasatan dibuat setelah pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor berkaitan aduan orang awam berkenaan kejadian ikan mati di sungai tersebut pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurut LUAS, hasil siasatan yang dibuat berhampiran Masjid Tun Abdul Aziz menemukan bangkai ikan yang hanyut.

LUAS berkata, pensampelan in-situ yang dijalankan di dua lokasi hulu sungai mendapati kandungan Oksigen Terlarut (DO) adalah baik iaitu di antara 3.2 miligram per liter (mg/l) hingga 4.33 mg/l, manakala kandungan amonia adalah 2 mg/l.

Iklan

"Siasatan di hilir sungai menemukan ratusan bangkai ikan mati berpunca daripada pencemaran air sungai yang berkemungkinan berlaku sebelum penemuan pada Khamis.

"Bagaimanapun, pensampelan yang dijalankan di lokasi ketiga ini mendapati kandungan DO juga baik iaitu 3.68mg/l serta Ammonia 2mg/l dan air berwarna keruh di kawasan tersebut mengalir memasuki ke Sungai Penchala,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, siasatan LUAS bersama beberapa agensi berkaitan ke Jalan Professor Koy Khee Kim mendapati keadaan longkang masih keruh dan pelepasan efluen disyaki berpunca daripada kilang yang beroperasi di kawasan tersebut pada jarak 165 meter ke Sungai Penchala.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan lanjut yang dilaksanakan di premis kilang berkenaan mendapati kilang tersebut melepaskan efluen mentah ke longkang berkenaan setelah ujian pH yang dilaksanakan merekodkan bacaan 10.

Tambah kenyataan itu, JPNS juga menjalankan pensampelan ikan dan air sungai di lokasi pencemaran bagi tujuan analisa serta forensik lanjut punca sebenar kejadian.

"Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan pemeriksaan di loji rawatan kumbahan (LRK) IWK berhampiran Sungai Penchala.

"LUAS akan mengambil tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 79(1)(a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, yang mana sebarang pencemaran sumber air apabila disabitkan kesalahan akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM 1 juta.

"LUAS juga menyeru kepada semua pihak dan masyarakat dari masa ke masa untuk memaklumkan sebarang aktiviti yang disyaki berpotensi menyebabkan pencemaran agar siasatan dan tindakan segera dapat diambil,” katanya.