'Saya akan ditidurkan, maafkan semua' status terakhir sebelum 'pergi'

Iklan
Allahyarham merupakan penyanyi lagu-lagu asli dan pemenang tempat ketiga pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan pada 2009. - Foto Facebook

SUNGAI PETANI -"Saya akan ditidurkan, maafkan semua.” Itu status terakhir dimuat naik Muhammad Hanizam Azman yang meninggal dunia pada Jumaat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) akibat jangkitan Covid-19.

Dikenali dengan nama panggilan Angah, Allahyarham merupakan penyanyi lagu-lagu asli dan pemenang tempat ketiga pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan pada 2009.

Iklan
Iklan

Muhammad Hanizam juga pernah dinobat sebagai johan Bintang Asli Remaja anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) Kedah pada 2014.

Lebih menyedihkan, Allahyarham memuat naik status itu sekitar jam 2 petang, hanya empat jam sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Iklan

Malah beberapa jam selepas meninggal dunia, masih ramai rakan dan kenalan yang belum mengetahui tentang pemergian Allahyarham, meninggalkan komen mendoakan kesembuhannya.

Menerusi kemas kini di laman sosial, Muhammad Hanizam yang berusia 30 tahun serta beberapa ahli keluarga disahkan positif Covid-19 pada 7 Ogos lalu.

Iklan

Harian Metro melaporkan Allahyarham yang menetap di Kuala Muda itu turut mengusahakan kedai makan di samping menerima tawaran mengadakan persembahan.

Muhammad Hanizam dimasukkan ke hospital tiga hari lalu selepas mengalami kesukaran bernafas. - Awani