SHAH ALAM - Kerajaan membenarkan semua aktiviti tidak perlu (non-essential) dalam sektor-sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian kembali beroperasi bermula 16 Ogos di negeri Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kapasiti pengoperasian adalah bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja.
"Bagi kadar vaksinasi lengkap pekerja yang sudah capai 80 hingga 100 peratus, kapasiti pengoperasian yang dibenarkan adalah 100 peratus.
"Untuk kadar vaksinasi antara 60 hingga 79 peratus, kadar pengoperasian dibenarkan pada tahap 80 peratus, manakala bagi kadar vaksinasi lengkap antara 40 hingga 59 peratus, mereka dibenarkan beroperasi pada kadar 60 peratus," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kerajaan faham keputusan itu akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai yang bimbang dengan risiko penularan.
"Sekali lagi dijelaskan bahawa setiap ketetapan dibuat dengan berhati-hati. Setelah lebih setahun negara berada dalam situasi pandemik, banyak majikan mula mengurangkan tenaga kerja sekaligus menyebabkan ramai hilang pekerjaan.
"Dalam situasi sukar ini, kerajaan tidak boleh membiarkan keadaan ini berlarutan," katanya.
Justeru itu, menurut Muhyiddin, kerajaan amat berharap kemudahan yang diumumkan ini dapat merancakkan semula perusahaan bagi kesemua majikan terlibat.
"Saya ingin mengingatkan semua majikan supaya mematuhi dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan sebelum memulakan semula operasi bagi memastikan keselamatan pekerja dan tempat kerja terjamin.
"Pada masa yang sama, manfaatkanlah sepenuhnya inisiatif subsidi upah yang disediakan kerajaan bagi memastikan setiap pekerja memperoleh bayaran gaji mereka," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengingatkan pekerja agar segera membuat laporan sekiranya majikan didapati tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Laporkan segera kepada Kementerian Kesihatan Malaysia di cprc@moh.gov.my atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) di aduan.sop@moha@gov.my atau Kementerian Sumber Manusia melalui aplikasi Working For Workers (WFW) sekiranya majikan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Kuasa di tangan anda sebagai pekerja kerana majikan yang tidak mematuhi SOP dan melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) boleh dikompaun dan dihadapkan di mahkamah," katanya.
Muhyiddin berkata, di bawah akta tersebut juga, KKM mempunyai kuasa penuh untuk memberi notis perintah tutup premis.
Sementara itu, beliau berkata, dari tempoh 26 Julai hingga 10 Ogos lalu, lebih 900 premis telah diarahkan tutup kerana kegagalan mematuhi SOP.
Katanya, ia adalah bukti kerajaan amat tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
"Terima kasih kepada rakyat dan pekerja yang membuat aduan sekaligus memudahkan pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan," katanya.