KUALA LUMPUR -"Insya-ALLAH akan ada pengumuman, apa-apa pun kita tunggu esok", kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut membincangkan arah dan hala tuju sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya pada esok.
Tambah Mohd Redzuan, perutusan yang diumumkan pada Jumaat merupakan jalan terakhir demi kepentingan rakyat menghadapi krisis ketika ini.
"Jadinya kita nampak ada golongan yang tidak bertanggungjawab untuk memastikan rakyat digadaikan.
"Sepatutnya, kita membincangkan usaha yang dibawa oleh Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN), tetapi kita akur kepada perlembagaan sekiranya tarik sokongan atas dasar peribadi tanpa mengira kepentingan rakyat,
"Maka kita akan uruskan dengan cara terbaik,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Publika pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, sekarang ini terpulanglah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memastikan negara terus distrategikan dengan kepimpinan yang boleh memberi kesejahteraan rakyat.
ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin dijangka letak jawatan pada Isnin: Menteri PN
Pemimpin Bersatu mesyuarat bincang hala tuju
Muhyiddin belum sahih letak jawatan
Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu enggan mendedahkan butiran terperinci mesyuarat tersebut sebaliknya ia berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan awam.
Mesyuarat tersebut yang berlangsung selama dua jam itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Timbalan Menteri Kementerian Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman dan Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Noor Azmi Ghazali.
Selain Ahli Parlimen Bersatu, turut hadir Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar Arulnadam dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Pada Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.
Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen.
Namun tidak sampai beberapa jam mengumumkan tawaran kerjasama rentas parti kepada pembangkang, semua tawaran tersebut telah ditolak.