SUNGAI BULOH - Enakmen Majlis Penggerak Belia Selangor bakal menjadi antara perkara diberi perhatian secara khusus dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 23 Ogos sehingga 6 September depan.
Exco Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, buat masa ini, kerajaan negeri sedang merangka enakmen baharu itu bagi membolehkan semua persatuan belia di Selangor dapat ditadbir di bawah satu pergerakan.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, dengan langkah berkenaan, Majlis Sukan Negara (MSN) Selangor dapat memberi fokus 100 peratus terhadap aspek pembangunan sukan di Selangor.
"Di samping itu, akan lihat masalah pekerjaan dihadapi kalangan belia di negeri ini," katanya selepas Sumbangan P-Hailing RM500 Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seri Pagi, Paya Jaras, di sini, pada Ahad.
Kerajaan Selangor sebelum ini memperuntukkan sebanyak RM2 juta dalam program berkenaan yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 golongan belia di negeri tersebut.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai pembukaan Sidang DUN tidak lama lagi, Mohd Khairuddin berkata, pihaknya berharap semua (Ahli Dwan Undangan Negeri (ADUN) dapat bersama-sama terlibat dalam memberi cadangan penambahbaikan kepada kerajaan negeri.
"Saya berharap mereka tidak hanya mencari kelemahan namun dapat bersama-sama memberi cadangan penambahbaikan selepas ini," katanya.