BATU KAWAN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap pergolakan politik yang berlaku ketika ini tidak akan menjejaskan perjalanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan beberapa inisiatif kesihatan awam bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu perlu diberi tumpuan bagi memastikan program vaksinasi yang sedang berlangsung dapat berjalan lancar sekali gus mencapai matlamat dan sasaran imuniti kelompok seperti ditetapkan.
Menurutnya, mengikut statistik Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin Kebangsaan, Pulau Pinang telah berjaya mencapai 70 peratus dos pertama pada Ahad dan dijangkakan 30 peratus lagi akan mendapat suntikan vaksin mereka menjelang minggu pertama pada September.
"Sasaran ini boleh dicapai dengan mengembelingkan tenaga di semua pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk meneruskan kaedah PPV Bergerak di lokasi tertentu bagi memastikan baki 30 peratus yang belum menerima dos pertama akan disempurnakan dalam tempoh tiga minggu lagi.
"Bagi dos kedua kita sasarkan sebanyak 50 peratus penduduk akan menerimanya menjelang akhir Ogos ini manakala bakinya akan selesai menerima suntikan pada akhir September atau selewat-lewatnya awal Oktober selari dengan matlamat kebangsaan," katanya ketika ditemui media di sini pada Ahad.
Terdahulu, Kon Yeow membuat tinjauan Program Penang Saring Covid-19 yang diadakan di pekarangan Stadium Batu Kawan.
Hadir sama, Exco Perumahan,Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai Datuk Sr Rozali Mohamud.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, bagi kerajaan negeri juga kini memberi tumpuan bagi memperkukuhkan inisiatif kesihatan awam termasuk menjalankan program mengesan, melakukan ujian saringan, memberikan rawatan dan isolasi serta sokongan kepada mereka yang dijangkiti Covid-19.
Dengan pelaksanaan rangkaian sistem yang teratur ini ujarnya, diharap dapat menangani penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.
Sementara itu, mengulas masalah pembekalan vaksin jenama Pfizer yang berlaku di negeri ini sehingga menyebabkan empat PPV terpaksa di tutup pada Ahad, Kon Yeow menjelaskan perkara itu telah diselesaikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dengan melakukan penyusunan semula jadual penerima vaksin.
Katanya, masalah itu terjadi selepas Pulau Pinang tidak menerima bekalan lebih 20,000 dos vaksin itu pada 12 Ogos depan dan semua penerima yang dijadualkan menerima suntikan pada 15 hingga 19 Ogos akan dipinda kepada 22 hingga 26 Ogos depan.
"Disebabkan masalah itu empat PPV iaitu di Kompleks Sukan Balik Pulau; Dewan Balai Rakyat Bayan Baru; Tapak Pesta dan Dewan Millenium ditutup selama sehari dan akan dibuka semula pada Isnin.
"Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa menyemak tarikh penjadualan dos pada aplikasi MySejahtera masing-masing," katanya.