SHAH ALAM - Kerajaan berharap kemudahan baharu yang diumumkan pada Ahad bukan sahaja memberi kelegaan kepada rakyat dari sudut emosi dan kesihatan mental, malah turut membantu memulihkan semula secara berperingkat situasi khususnya kumpulan dalam sektor ekonomi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan tersebut termasuk pemilik premis mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan.
Menurut beliau, ia bagi memastikan kelonggaran itu dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat.
"Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan yang telah diberikan sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
"Jika berlaku jangkitan di premis yang menerima kemudahan ini, KKM akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenalpasti melanggar SOP," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: 11 aktiviti ekonomi dibenar kembali beroperasi esok
Sektor pembuatan, pembinaan dan perlombongan kembali beroperasi
Taman rekreasi awam di negeri Fasa 1 PPN dibuka semula
Muhyiddin sebelum itu mengumumkan kelonggaran yang diberikan kepada sektor ekonomi bagi negeri Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) selain mengumumkan taman rekreasi awam di negeri-negeri Fasa 1 juga dibenarkan dibuka semula untuk riadah bermula Isnin.
Berikutan itu, Muhyiddin mengulangi peringatannya bahawa kemudahan yang diberi bukan bermakna rakyat telah mendapat kebebasan mutlak.
Jelasnya, setiap SOP, garis panduan dan prosedur mesti dipatuhi sebaiknya.
"Amalan pemakaian pelitup muka, melaksanakan penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan kendiri juga mesti diteruskan oleh setiap lapisan masyarakat.
"Virus Covid-19 masih berada di persekitaran dan kita mestilah terus berjuang bersama-sama untuk memeranginya habis-habisan. Insya-ALLAH kita menang bersama," kata beliau.