KUALA LUMPUR- Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menempelak tindakan pihak tertentu yang dikatakan melemparkan tuduhan ke atas beliau sebelum ini, sebaliknya kini menawarkan jajaran baharu bersama parti politik tertentu.
Menerusi entri terbaharu di laman Facebooknya pada Ahad, Zahid antara lain mempersoalkan tindakan tersebut yang disifatkannya sebagai satu pembohongan.
"Mengata dulang paku serpih mengata orang dia yang lebih. Melempar tuduhan demi tuduhan ke atas Presiden UMNO.
"Akhirnya mereka melakukan apa yang dituduh. Begitulah 'karma' sebuah pembohongan dan penipuan. Akhirnya mereka yang menawarkan jajaran baharu bersama DAP. Mula menghalalkan apa mereka haramkan.
"Hilang terus dalil ummah dan musuh agama yang hari-hari diratib untuk menyerang Presiden UMNO. Beberapa mereka mendakwa konon tidak dimaklumkan jajaran baharu, tetapi 'ok' demi tamadun," jelasnya.
Tambah Zahid, ada yang mendakwa tidak mahu membentuk jajaran baharu sebelum ini, namun perkara itu berubah.
"Ada mendakwa konon tak mahu jajaran baharu bersama DAP, tetapi terpaksa disebabkan pandemik. Bermacam-macam alasan cuba mereka selindungi, tetapi mahu selindung apa lagi?
"Rakyat tidak lagi mudah diperbodohkan. Penipuan, pembohongan dan hipokrasi tahap tertinggi. Mereka mendulang air terpercik muka sendiri. Presiden UMNO begini jua terus berpegang pada prinsip parti.
"Mungkin berkat kesabaran dan yakin kebesaran Tuhan berdepan panah-panah fitnah. Simpati juga pada JKOM selepas bersungguh-sungguh melancarkan propaganda terhadap Presiden UMNO," katanya lagi.
Zahid turut menjelaskan bahawa beliau memaafkan semua fitnah dan dakyah yang dilakukan terhadapnya sebelum ini. - Awani