SUNGAI BULOH - Kerajaan Selangor meneruskan Inisiatif Skim Roda Darul Ehsan (RiDE) pada tahun ini dengan menawarkan sebanyak 3,000 kuota permohonan buat mereka yang berkelayakan.
Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dalam membantu meningkatkan taraf ekonomi golongan belia menerusi pemberian inisiatif khususnya pada waktu mencabar ketika ini.
Menurutnya, sebagai langkah untuk mendokong golongan belia yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran makanan, kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil tanggungjawab melaksanakan program berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta setahun.
"Pada tahun lalu, kita membuka permohonan dengan jumlah kuota yang sama dan diharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat membantu merancakkan lagi ekonomi gig yang menjadi trend dalam kalangan belia ketika ini," katanya selepas Majlis Sumbangan P-Hailing RM500 Inisiatif RiDE di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seri Pagi, Paya Jaras, di sini, pada Ahad.
Menerusi penganjuran program itu, Mohd Khairuddin berkata, pihaknya telah membuat serahan cek buat penerima inisiatif RiDE yang membuat permohonan pada tahun lalu melibatkan daerah Petaling Jaya, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam dengan jumlah RM343,080.
Katanya, penyerahan cek bagi permohonan melibatkan daerah Gombak, Hulu Langat, Petaling, Kuala Langat, Sepang dan Klang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam tempoh beberapa minggu selepas ini.
"Malah, bermula tahun ini juga, kita membuka permohonan kepada mereka yang berusia antara 30 hingga 40 tahun selepas kerajaan negeri menerima banyak permohonan daripada golongan berkenaan sebelum ini," katanya.