Mohon Agong kekal PM, kerajaan PN hingga PRU15

Iklan
Che Zakaria

KOTA TINGGI - Yang di-Pertuan Agong dimohon membuat pertimbangan mengekalkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, ini bagi memastikan kestabilan politik tidak tergugat dan usaha memerangi pandemik Covid-19 dapat diteruskan.

Iklan
Iklan

"Sekiranya Perdana Menteri dan kerajaan ditukar ketika ini, banyak masalah yang akan timbul termasuk merencatkan usaha memerangi Covid-19 yang mencecah lebih 20,000 kes ketika ini.

"Pada masa sama tidak ada calon Perdana Menteri yang layak ketika ini dan sekiranya Perdana Menteri serta kerajaan ditukar, belum tentu dapat menyelesaikan masalah Covid-19 di negara ini.

Iklan

"Perdana Menteri atau kerajaan baharu nanti bukan ada magis apabila dilantik masalah Covid-19 akan selesai sekelip mata. Ini mustahil dan kerajaan PN sudah melakukan yang terbaik dalam memerangi pandemik ini," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan peribadi untuk Program Vaksinasi Berkelompok Felda Air Tawar 5 di Pejabat Kejora, Bandar Penawar di sini pada Ahad.

Iklan

Ketika ini timbul desas-desus Muhyiddin akan meletakkan jawatan dan mengumumkan perkara tersebut selepas bertemu Agong pada Isnin.

Pada Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen serta mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Zakaria berpendapat, pembubaran Parlimen untuk PRU15 juga tidak wajar kerana penggal untuk PRU14 akan tamat tidak lama lagi dan tempoh masa yang ada ditumpukan untuk menangani Covid-19.

Semua pihak katanya, harus mematuhi titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis yang mahukan semua pihak berhenti berpolitik ketika ini.

"Titah Sultan Johor perlu difahami dalam konteks yang lebih luas iaitu kemelut politik negara dan bukan di Johor sahaja. Kita khuatir jika Perdana Menteri meletak jawatan keadaan bertambah buruk dan perebutan kuasa berlaku," katanya.