GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia akan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan Jambatan Pulau Pinang secara berjadual mulai 16 Ogos sehingga 30 Disember depan.
Ketua Pegawai Operasi (COO) PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, kerja-kerja penyelenggaraan itu akan dilaksanakan secara berperingkat di antara Kilometer (KM) 0.2 hingga KM 8.3 melibatkan laluan Perai ke Pulau bagi mengurangkan gangguan trafik terhadap perjalanan pengguna di atas jambatan tersebut.
Menurutnya, semua kerja dijadualkan berlangsung pada sebelah malam sahaja iaitu mulai jam 10 malam hingga 6 pagi sepanjang tempoh tersebut.
"Kerja penyelenggaraan ini salah satu daripada usaha berterusan untuk terus meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna di Jambatan Pulau Pinang, khususnya bagi rakyat Pulau Pinang.
"Semasa kerja penyelenggaraan dijalankan, penutupan lorong akan dijalankan secara berperingkat bagi membolehkan dua lorong terus dibuka untuk keselesaan orang ramai pada setiap masa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
PLUS juga akan ujarnya, akan memastikan maklumat trafik serta penutupan lorong di jambatan tersebut dihebahkan kepada orang ramai secara berterusan melalui papan tanda elektronik di lokasi yang strategik menghala ke Jambatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun katanya, sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan di lorong tengah dijalankan, lorong kanan juga akan ditutup untuk tujuan keselamatan.
"Oleh itu, hanya lorong perlahan yang boleh dilalui dan sekiranya terdapat keperluan, lorong kanan akan dibuka kepada pengguna," katanya.
Beliau menasihatkan pengguna jambatan berkenaan agar merancang perjalanan mereka atau menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh tersebut.