PENGENDALI Atletico Madrid, Diego Simeone menegaskan La Liga tetap menjadi antara saingan liga bola sepak yang kompetitif di dunia, biarpun tanpa kelibat Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.
Menurut Simeone, pada hari ini aspek kompetitif itu dinilai berdasarkan kepada pembangunan serta perkembangan sesuatu pasukan dan bukan lagi kepada faktor pemain-pemain bintang yang beraksi dalam saingan liga berkenaan.
"Sebagai contoh, kita semua tahu saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah saingan liga yang kompetitif di dunia, tetapi Ronaldo atau Messi tidak beraksi di situ.
"Bagaimanapun dalam masa sama, EPL tetap muncul selaku antara saingan liga terbesar di dunia sekali gus ia membuktikan bahawa aspek kompetitif itu tidak hanya dinilai daripada aspek kehadiran pemain-pemain bintang, tetapi hasil perkembangan dan pembangunan pasukan yang beraksi dalam liga berkenaan.
"Oleh itu saya menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa saingan La Liga tidak lagi kompetitif setelah ketiadaan Ronaldo dan Messi,” katanya.
Untuk rekod, bekas pemain Real Madrid, Cristiano Ronaldo kini beraksi untuk Juventus dalam saingan Serie A, manakala Lionel Messi memilih Paris Saint-Germain (PSG) sebagai pasukan baharu setelah kontraknya bersama Barcelona tidak dilanjutkan.
Oleh itu, ketiadaan kedua-dua pemain berkenaan dalam saingan La Liga ketika ini dilihat bakal menjadikan saingan liga itu tidak lagi kompetitif.
Dalam pada itu, Simeone turut menegaskan pihaknya tidak memiliki sebarang hasrat untuk membawa bintang Messi ke kelab berkenaan.
Malah Siemone turut menafikan laporan media yang mendakwa kelab berkenaan sebelum ini memang berusaha untuk menandatangani pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or itu.
"Kita memang tidak mempunyai perancangan untuk membawa Messi bersama kita. Lagipun, kita tidak pernah mengadakan perbincangan dengannya," katanya.