Segerakan pemberian vaksin kepada pekerja hotel

Iklan
Zamari Muhyi

IPOH - Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak menggesa kerajaan menyegerakan pemberian vaksin kepada kakitangan sektor perhotelan bagi membolehkan mereka beroperasi dengan selamat.

Pengerusinya, Zamari Muhyi berkata, sehingga kini terdapat sekitar 20 hingga 30 peratus kakitangan hotel di negeri ini yang telah menerima vaksin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemberian vaksin kepada penggiat industri pelancongan dan perhotelan sangat penting bagi mengurangkan risiko kepada pekerja serta pelancong.

"Sejak diumumkan kerajaan mengenai kelonggaran kepada penerima vaksin lengkap, orang ramai mula merancang dan membuat tempahan bilik penginapan atau chalet. Bagi pihak pengusaha yang masih beroperasi, mereka memang bersedia menerima kedatangan pengunjung namun dengan keadaan berjaga-jaga.

Iklan

"Jadi kita mohon agar dipercepatkan pemberian vaksin kepada kakitangan perhotelan dan pemain industri pelancongan yang masih rendah ketika ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Zamari turut meminta kerajaan untuk memberikan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan senang difahami kepada industri perhotelan dan pelancongan.

Iklan

Katanya, perkara itu penting agar SOP yang digunapakai mudah difahami oleh pengusaha hotel dan penggiat industri pelancongan serta dapat dipatuhi pelancong.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap pengusaha inap desa dan penginapan tanpa lesen yang boleh memberi kesan kepada penggiat pelancongan sedia ada.

Jelasnya, pengusaha inap desa dan penginapan tanpa lesen dibimbangi akan beroperasi tanpa mengikut SOP ditetapkan demi mengaut keuntungan.