Tarif air: Kerajaan Selangor tak tergesa-gesa tentukan kadar

Iklan
Amirudin Shari. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor dilihat tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan sama ada tarif air di negeri ini bakal dinaikkan atau tidak, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata buat masa ini, perbincangan mengenai tarif itu sedang berjalan antara pihaknya dengan Kerajaan Pusat yang mana bukan sahaja Selangor masih belum memuktamadkan kadarnya, tetapi juga melibatkan beberapa negeri lain.

Iklan
Iklan

Tambah Amirudin, ini kerana mungkin terdapat negeri lain yang perlu diberi keutamaan untuk berbincang lebih lanjut dengan Kerajaan Pusat berhubung tarif air mereka demi kelestarian industri itu pada masa depan.

"Kerajaan Pusat belum habis berbincang dengan negeri-negeri sebab ada formula (menentukan tarif air) yang belum disepakati. Walaupun Selangor sudah agak lama tidak menaikkan tarif air iaitu sekitar 13 tahun, tetapi ada negeri yang lebih 20 tahun tidak menaikkan tarif airnya.

Iklan

"Mungkin kelebihan untuk berbincang (dengan Kerajaan Pusat) diberikan kepada kerajaan negeri-negeri ini bagi memastikan kelestarian industri air mereka,” katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini, hari ini.

Pada 8 Januari lepas, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar menyatakan kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air negara.

Iklan

Dalam pada itu, Amirudin memberitahu bahawa program pemberian 25 meter padu air percuma kepada rakyat berpendapatan rendah (B40) di Selangor dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai Mei atau Jun depan.

Bagaimanapun katanya, perancangan itu masih pada peringkat perbincangan namun perkembangan mengenainya akan diumumkan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

Mengulas mengenai rebat elektrik sebanyak RM40 sepanjang tahun ini yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat kepada golongan miskin tegar dan miskin, Amirudin berkata seramai 8,836 ketua isi rumah di seluruh Selangor dikenal pasti layak menerima bantuan berkenaan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 6,416 ketua isi rumah didapati tidak mempunyai akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) manakala 2,262 lagi adalah tambahan data tahun ini yang kita peroleh daripada Sistem E-Kasih.

"Bagi yang tiada akaun TNB disebabkan mungkin mereka menyewa rumah orang lain ataupun belum mengemas kini akaun lama, kerajaan negeri akan bantu ketua isi rumah mendaftarkan diri supaya mereka dapat menerima manfaat tersebut,” katanya.- Bernama