BEIJING - China giat meneroka pendekatan proaktif yang bukan sahaja bertujuan melindungi gajah liar Asia yang mengembara ke kawasan bandar dan desa, tetapi juga memastikan keselamatan manusia terjamin.
Sempena Hari Gajah Sedunia pada Khamis, ahli zoologi berkongsi langkah-langkah praktikal yang boleh diamalkan.
Awal tahun ini, sekumpulan gajah liar yang mengembara ke kawasan kota di wilayah Yunnan telah menjadi tumpuan umum.
Menurut ahli zoologi, bagi memastikan haiwan liar itu dilindungi dan tidak mengancam keselamatan manusia, pihaknya menggunakan dron untuk memantau gajah-gajah itu.
Satu sistem amaran awal turut digunakan supaya gajah liar tersebut dapat bergerak secara bebas selain maklumat segera boleh disalurkan sekiranya gajah-gajah itu menghampiri tempat-tempat awam.
Pendekatan yang dilaksanakan terbukti berkesan, termasuk meletakkan halangan, menyediakan sumber makanan dan memberi subsidi kepada kaum petani yang tanaman terjejas akibat aktiviti gajah.
Kumpulan gajah itu melakukan pengembaraan ke kawasan utara selepas meninggalkan habitat asal di zon perlindungan alam semula jadi di Xishuangbanna pada Mac tahun lalu. - Bernama