PKRC pesakit risiko rendah dibuka di Pulau Sebatik

Iklan
Sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan dibuka di Pulau Sebatik dekat sini dalam tempoh terdekat. Gambar hiasan

TAWAU - Sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan dibuka di Pulau Sebatik dekat sini dalam tempoh terdekat.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran berkata, Sekolah Kebangsaan Bergosong akan dijadikan PKRC sementara bagi memudahkan penduduk pulau yang dikesan positif Covid-19 dengan risiko rendah untuk mendapat rawatan sekali gus menangani isu logistik.

Iklan
Iklan

"Ini untuk memudahkan penduduk sebab kalau naik bot lebih 30 minit dan kena tengok juga keadaan laut bergelora, selain mengatasi kekangan logistik untuk membawa pesakit ke tanah besar," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Menurutnya, terdapat lebih 100 kes positif dikesan di kawasan Pulau Sebatik dalam tempoh dua minggu lepas.

Iklan

Katanya, punca kes Covid-19 melonjak naik di Tawau adalah berikutan sambutan Aidiladha dengan kemasukan individu dari negara jiran.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan individu yang menerima janji temu suntikan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera agar menepati masa yang diberikan bagi mengelak berlaku kesesakan di pusat pemberian vaksin (PPV) di sini.

Iklan

"Ada yang datang terlalu awal, janji temu pada jam 3 petang tetapi datang pada jam 8 pagi, ini antara penyebab kesesakan berlaku di luar pekarangan PPV Dewan Masyarakat Tawau sehingga tular beberapa hari ini, walhal di bahagian dalam PPV semua ikut standard operasi ditetapkan (SOP)," katanya.

Beliau berkata, ketika ini semua PPV di Tawau hanya menerima warga emas berusia 60 tahun dan ke atas bagi vaksinasi secara 'walk-in'.

Dr Navindran berkata, pihaknya juga akan melaksanakan program mobilisasi vaksin komuniti di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Program sudah dimulakan di lokaliti PKPD Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Titingan selama dua hari sejak Sabtu. Setakat tengah hari ini, lebih 800 penduduk PPR mengambil peluang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19," katanya. - Bernama