KUCHING - Polis Sarawak berjaya menangkap seramai 1,152 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari tempoh 1 Januari hingga 15 Ogos tahun ini, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Mancha Ata.
Menurut beliau, migran tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di seluruh Sarawak.
Beliau berkata, selain itu, seramai 540 PATI yang cuba memasuki negeri Sarawak melalui jalan tidak diwartakan juga telah berjaya diusir pulang.
"Tindakan pengusiran itu dibuat dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 dari luar negeri Sarawak terutamanya varian Delta yang menyumbang kepada peningkatan kadar kebolehjangkitan yang kian merebak pada masa kini,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, bagi kes melibatkan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Mancha berkata, seramai 252 individu telah ditangkap kerana disyaki menjadi dalang dalam penyeludupan migran ataupun dikenali sebagai ‘Tekong Darat’.
"Daripada jumlah tangkapan itu, seramai 172 individu telah dituduh di mahkamah, manakala bakinya seramai 80 individu masih dalam proses melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut dibuat,” katanya.
Selain itu, Mancha berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti individu atau kumpulan tertentu yang cuba menyeludup masuk migran ke Sarawak.
Katanya, tindakan yang drastik akan diambil oleh pihak polis bagi mengekang aktiviti seumpama ini.
"Modus operandi kegiatan ini sentiasa dikaji selidik walaupun taktik dan teknik individu serta kumpulan terbabit sering berubah-ubah,” katanya. - Bernama