MTUC kecewa pemimpin politik tidak peduli isu pekerjaan

Iklan
MTUC

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melahirkan kekecewaan dengan majoriti kepimpinan parti politik susulan tidak memberi maklum balas terhadap surat yang telah dihantar bagi mengadakan perjumpaan bersama.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, sehingga kini, MTUC hanya berjaya berbincang dengan satu parti politik utama bagi menyampaikan harapan pekerja Malaysia.

Iklan
Iklan

"MTUC telah membangkitkan isu pindaan akta berkaitan dengan pekerjaan yang masih lagi tidak menjadi kenyataan.

"Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan tidak pernah diadakan semenjak tahun 2020. MTUC tidak dijemput dalam sebarang perbincangan mengenai pembukaan ekonomi atau perancangan terhadap pekerjaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, MTUC dalam masa sama mengharapkan krisis kepimpinan negara dapat diatasi secepat mungkin bagi memberi harapan kepada pemulihan ekonomi dan mengekang wabak Covid-19.

"MTUC sebagai pusat buruh kebangsaan mewakili pekerja amat khuatir dengan kadar pengangguran dan kehilangan pekerjaan yang semakin tinggi.

Iklan

"Tanpa sedar, krisis kepimpinan negara telah merumitkan lagi keadaan pekerjaan dan membawa kepada ketidakpedulian pemimpin terhadap isu pekerjaan,” katanya.

Tegasnya, ketidakpedulian pemimpin politik semakin jelas apabila tiada lagi isu-isu pekerjaan diangkat menjadi agenda utama sejak mengalami krisis kepimpinan negara.

"Keadaan pekerja yang semakin tertekan dengan pemotongan gaji, elaun dan dicutikan tanpa gaji menunjukkan bahawa keselamatan pekerjaan di Malaysia semakin tidak terjamin,” ujarnya.

Katanya, MTUC turut bersedia bekerjasama dengan mana-mana kerajaan.

"Pekerja dan kerajaan perlu bersatu jika berhasrat untuk melihat kejayaan negara tercinta ini. MTUC mengharapkan kerajaan mendengar dan melihat keluhan, rintihan dan kepayahan rakyat.

"Keupayaan kerajaan adalah memberi tindak balas kepada keadaan rakyat yang ketiadaan sumber pendapatan untuk kelangsungan hidup,” katanya.