KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 50 peratus penduduk dewasa melengkapkan dos suntikan vaksin pada bulan ini, demikian menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata, PICK sudah mula menunjukkan hasil positif dengan sebanyak 12 juta dos vaksin telah diberikan setakat Julai lepas, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan sejak Februari hingga Jun mencecah lebih 8 juta dos.
"Purata kadar vaksinasi harian kita pada Julai mencecah hampir 400,000 melebihi sasaran iaitu 300,000. Kita bermula lewat sebulan berbanding negara maju seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan, namun kita telah berjaya bergerak lebih pantas,”
"Perkembangan di negara kita ini telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dan kita berjaya merekodkan kadar vaksinasi harian melebihi setengah juta dos.
"Ini terbukti bahawa, isu kekurangan kapasiti, sumber daya atau kompetensi bukanlah penghalang kejayaan kita ini, tetapi sebaliknya ia disebabkan oleh bekalan vaksin yang tidak konsisten akibat ketidakadilan pengagihan vaksin Covid-19 oleh negara-negara tertentu yang turut dikritik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia,” katanya dalam video yang dimuat naik di Twitternya pada Ahad.
Menurut Khairy, PICK juga berjaya mencapai sasaran memastikan 100 peratus individu dewasa di Lembah Klang menerima sekurang-kurangnya suntikan satu dos vaksin, melalui Operasi Lonjakan Kapasiti atau Operation Surge Capacity yang melibatkan jumlah kadar purata vaksinasi harian sebanyak 235,000 dos sepanjang program berkenaan.
Oleh itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berharap dapat melihat perubahan dalam bilangan kemasukan pesakit ke hospital dan kes kematian di Lembah Klang dalam tempoh beberapa minggu lagi apabila lebih ramai individu melengkapkan dua dos suntikan vaksin.
Khairy berkata, Malaysia kini telah mencapai lebih 40 peratus populasi dewasa yang menerima dua dos suntikan vaksin dan lebih 50 peratus jumlah populasi negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sementara 81 peratus daripada individu dewasa yang berdaftar telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Dalam video tersebut, Khairy turut menyebut mengenai keberkesanan PICK di Labuan dengan 60 peratus daripada jumlah penduduknya telah melengkapkan suntikan vaksin, sementara Sarawak mencapai 56 peratus.
Oleh itu, sejak awal Julai lepas, pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) telah berkurangan sebanyak 60 peratus di Sarawak dan hampir 100 peratus di Labuan, manakala data penting lain termasuk kematian dan kemasukan kes serius ke hospital juga menunjukkan trend yang menurun.
"Kita menyedari bahawa varian Delta tersebar luas di Sarawak dan Labuan, namun Alhamdulillah, vaksin telah mempunyai kesan yang diharapkan untuk mengurangkan tahap keparahan Covid-19," katanya.
Khairy juga menggesa agar lebih ramai pekerja asing dan migran untuk mendapatkan vaksin dan PICK akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan untuk menyuntik vaksin kepada komuniti pelarian dengan vaksinasi mereka tidak lama lagi, manakala individu di penjara dan pusat tahanan juga akan divaksinasi dalam tempoh beberapa minggu lagi.
"Prestasi kita pada Julai amat memberangsangkan dan kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pada Ogos. Kita perlu bekerja keras untuk memastikan sebanyak mungkin individu divaksin secepat mungkin agar negara kembali pulih, rakyat dapat menjalani kehidupan normal dan aktiviti ekonomi dibuka semula dengan lebih giat.
"Saya tidak akan berhenti sehingga setiap individu dewasa melengkapkan dos suntikan vaksin mereka pada hujung Oktober ini. Itu adalah janji saya kepada anda. Saya harap saya dapat mencapainya,” katanya. - Bernama