KUALA NERUS - Seorang suri rumah di Kampung Baru Pulau Redang di sini mengambil inisiatif menghasilkan kuih-muih untuk membantu suaminya yang terjejas pendapatan selepas sektor pelancongan tidak dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19.
Rosnani Deraman, 46, berkata, dia mula menghasilkan kuih-kuih tradisional Terengganu untuk membantu suaminya, Mad Nawi Muda, 56, sejak dua bulan lalu.
Katanya, antara kuih-muih dihasilkan ialah lompat tikam dan putu mayam untuk dihantar ke dua buah gerai makan bagi menampung perbelanjaan keluarga.
"Saya terpaksa fikirkan inisiatif lain memandangkan gaji suami kini tidak seperti dahulu. Mujurlah saya mampu bergantung hasil jualan kuih yang diperoleh kira-kira RM60 hingga RM80 sehari.
"Sebelum ini gaji suami saya yang bekerja di sebuah resort mencecah RM2,000 sebulan, kini telah dipotong lebih separuh tinggal sekitar RM800 sahaja," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan bantuan 'Ganu Eco Charity' di sini pada Sabtu.
Menurut Rosnani, pihak pengurusan resort terpaksa memotong gaji pekerja kerana melakukan sistem penggiliran ekoran kunjungan pelancong tidak memberangsangkan.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Noor Laila Ab Kadir, 40, berkata, dia dan keluarga melalui saat getir selepas suaminya, Suhaili Mohamad, 43 hilang punca pencarian sejak diberikan cuti tujuh bulan tanpa gaji.
Katanya, dia sekeluarga bergantung harap kepada bantuan diterima selain mengambil inisiatif bagi menampung keperluan seharian.
"Saya sebenarnya tidak terfikir suami akan kehilangan kerja dan menganggur tetapi itulah hakikat yang perlu ditempuhi kami sekeluarga.
"Mujurlah banyak bantuan makanan diterima hasil sumbangan banyak pihak. Suami akan keluar mengail ikan setiap hari sebagai sumber makanan kami sekeluarga setiap hari," katanya.
Sebanyak satu tan metrik barangan keperluan diagihkan kepada penduduk terjejas di Pulau Redang pada Sabtu.
Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS), Dr Noor Zaitun Yahaya berkata, sebanyak RM210,000 disumbangkan oleh Yayasan Hasanah, iaitu yayasan milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
Katanya, sumbangan diterima memberi manfaat kepada 1,500 penduduk terjejas akibat pandemik Covid-19.
"Sebanyak 1,500 pek makanan dan kit kebersihan telah diserahkan di Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kuala Nerus. Lokasi di Redang adalah lokasi terakhir penyerahan sumbangan," katanya.