Dari kokpit ke bisnes francais

Iklan
Mohd Azmir dan Shahriza bersama pekerjanya di Mykori cawangan Teluk Intan.

MENJADI seorang usahawan francais sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh seorang juruterbang selepas terpaksa 'berehat' daripada mengendalikan pesawat akibat pandemik Covid-19.

Kapten Mohd Azmir Idris, 47, mengakui keputusan menukar bidang itu bukan sesuatu yang mudah namun sokongan kuat daripada isteri dan anak-anak membuatkan dirinya bertekad untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada peringkat awal beberapa jenis francais disenaraikan untuk dipilih namun ada di antara francais dipilih berdepan pelbagai cabaran sebelum bermula menyebabkan proses menyertai perniagaan tersebut tidak berjalan lancar.

"Dua minggu ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya terfikir apa yang nak dibuat selepas ini. Masa itu ingat nak tanam cili atau bela kambing, kemudian saya tanya isteri dan kami ambil keputusan nak sertai francais.

Iklan

"Sebelum ambil keputusan ini, saya solat istikharah. Pada mulanya, beberapa yang kita pilih, prosesnya tak berjalan lancar dan kemudian anak cadangkan Mykori. Apabila kami approach syarikat tersebut nampak mudah dan terus buat keputusan," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azmir tetap merindui kerjaya sebagai juruterbang biarpun kini bersama Shahriza menguruskan perniagaan.

Bercerita mengenai permulaan hidup sebagai seorang usahawan, Mohd Azmir yang berkhidmat lebih 25 tahun dalam bidang penerbangan memulakan kerjaya bersama Malaysia Airlines (MAS) pada tahun 1994 sehingga 2015.

Iklan

Beliau kemudian menyertai Saudi Airlines sehingga tahun 2020 sebelum mengambil keputusan untuk berhenti dan menyertai Malindo Air pada tahun yang sama.

Bagaimanapun, disebabkan pandemik Covid-19, hasratnya untuk terus mengendali pesawat tidak kesampaian apabila banyak syarikat penerbangan berdepan cabaran untuk beroperasi.

Disebabkan keadaan itulah anak kelahiran Klang, Selangor itu membuat keputusan mengisi kekosongan kerjayanya dengan menyertai bidang perniagaan.

Mohd Azmir yang memiliki dua francais Mykori di Teluk Intan dan Seri Iskandar mengakui bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi tiada pengalaman khusus sebelum ini.

Namun katanya, dengan perancangan yang betul selain sokongan keluarga, ia mampu direalisasikan dengan mudah tanpa sebarang masalah yang besar.

Mohd Azmir bersama isteri dan anak-anak yang menjadi tulang belakang dalam kerjayanya selama ini.

Isterinya, Shariza Bishahrin, 47, yang kini menjadi rakan perniagaan dan sama-sama menguruskan sepenuh masa kedua-dua cawangan francais itu turut berkorban daripada seorang suri rumah menjadi ahli perniagaan.

Jelas Mohd Azmir, isterinya memang meminati bidang perniagaan malah anak-anak juga turut terlibat secara tidak langsung membantu menghidupkan perniagaan tersebut.

Bantu kawan-kawan bidang penerbangan

Selain menjadi tauke dua cawangan francais Mykori, Mohd Azmir juga turut membantu rakan-rakan dalam bidang yang sama dengannya untuk menambah pendapatan melalui penjualan buah strawberi.

Kata Mohd Azmir, dia kini turut menjadi pembekal strawberi yang diperoleh dari Cameron Highlands, Pahang kepada rakan-rakan seperjuangan dalam bidang penerbangan.

Beliau berkata, sehingga kini lebih 1 tan strawberi yang berjaya dipasarkan terutama di Lembah Kelang melalui rakan-rakannya.

"Saya beli strawberi ini dengan jumlah yang banyak dan pada peringkat awal 60kg saya bawa turun dari Cameron Highlands. Saya nampak ada potensi sebab sekarang ini ramai tak boleh pergi Cameron Highlands jadi kita bawa strawberi Cameron Highlands kepada mereka.

"Bermula daripada itu saya tawarkan kepada kawan-kawan terutama yang terjejas Covid-19 untuk cari duit tambahan menampung keluarga. Alhamdulillah, sekarang dah ada lebih kurang 10 orang kawan-kawan saya buat bisnes jual buah strawberi ini," katanya.

Jelas Mohd Azmir, ketika ini hampir setiap hari bekalan strawberi diambil dari pemborong sebelum diagihkan kepada rakan-rakan usahawan untuk dipasarkan.

Mohd Azmir ketika menjadi juruterbang sebelum ini.

Sementara itu, bekas Kapten kapal Boeing 737 itu mengakui rindu untuk membuat penerbangan pesawat yang menjadi sumber pendapatan utama sebelum ini.

Beliau menjelaskan bahawa kerjaya sebagai juruterbang masih menjadi keutamaan walaupun sudah mempunyai perniagaan sendiri.

"Memang saya rindu nak fly, tetapi keadaan sekarang ini tak mengizinkan malah ramai rakan- rakan lain yang terpaksa meninggalkan kerjaya ini disebabkan situasi pandemik Covid-19 tidak berkesudahan.

"Insya-ALLAH, jika diizinkan untuk kembali, saya akan teruskan kerjaya sebagai juruterbang ini," katanya.