Jangan ada lagi kes Jalur Gemilang terbalik

Iklan

SAMBUTAN bulan kemerdekaan tahun ini mungkin suram seperti tahun lalu, malah mungkin jauh lebih sendu dalam situasi kes jangkitan harian Covid-19 melebihi angka 20,000 kebelakangan ini.

Walau dalam apa jua situasi, bulan kemerdekaan tetap perlu diraikan.

Iklan
Iklan

Jika tiada sambutan sekalipun, sekurang-kurangnya semangat itu perlu disemarakkan dengan kibaran Jalur Gemilang yang menghiasi jalan, premis perniagaan, kediaman dan kenderaan sepanjang bulan kemerdekaan ini.

Perlu diingat, Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara ini yang mana pemasangannya perlu mengikut tatacara yang sepatutnya.

Iklan

Memasang atau menggantung bendera kebanggaan negara ini secara salah, terbalik dan digunakan bagi maksud yang tidak sewajarnya adalah satu kesalahan dan boleh dianggap sebagai penghinaan kepada negara.

Malangnya, ada segelintir rakyat masih perlu diajar cara untuk memasang Jalur Gemilang dengan betul kerana pada tahun-tahun sebelum ini banyak kes dilaporkan berhubung kesalahan memasang bendera secara terbalik.

Iklan

Ada beberapa kemungkinan berlaku dalam isu tersebut antaranya kesilapan tidak disengajakan, disengajakan bagi maksud tertentu atau tidak peka dengan tatacara pemasangan bendera dengan betul.

Harapnya tahun ini tiada lagi yang perlu diajar dan diingatkan cara memasang Jalur Gemilang ini.

Jangan pula ada lagi yang terpaksa diajar dengan tindakan undang-undang.

Terdapat akta bagi melindungi bendera Malaysia itu agar ia dihormati dengan sewajarnya.Antaranya, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 dan Akta Hasutan 1948.

Tindakan juga boleh diambil mengikut mana-mana peruntukan undang-undang yang ada termasuk Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atau Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Selepas 64 tahun negara merdeka, kesilapan memasang Jalur Gemilang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi dengan sengaja.

Pada masa sama, berdasarkan satu informasi melalui perkongsian Jabatan Penerangan, penggunaan Jalur Gemilang untuk digayakan sebagai pakaian termasuk tudung, pelitup muka, topi, songkok, tanjak, samping, pakaian dan sebagainya tidak dibenarkan.

Sama ada kita sedar atau tidak, banyak berlaku sebelum ini apabila ramai yang tampil mengayakan busana yang dihasilkan daripada Jalur Gemilang atau bermotifkan bendera itu untuk menzahirkan semangat patriotik mereka.

Niat tidak menghalalkan cara, justeru, dalam isu bendera ini semua kena sedar dan jelas tatacara penggunaannya supaya tidak membawa kepada kesalahan dan penghinaan.

Setiap kejangggalan yang berlaku mudah menarik perhatian umum dan lensa kamera netizen.

Selain kecaman, bersedialah menunggu tindakan pihak berkuasa bagi mereka yang memasang bendera terbalik selepas perbuatan itu ditularkan.

Harap tahun ini isu ini tidak akan berlaku lagi. Jadikan kes-kes yang berlaku tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya sebagai pengajaran.

Ya... kita semua harap begitu. Alhamdulillah setakat ini kita belum mendengar kesalahan itu kembali berulang.

Cuma bahang semarak merdeka tahun ini agak suram dan nampak kurang semangatnya.

Di Pahang misalnya, kibaran Jalur Gemilang agak kurang dan ada premis perniagaan belum menggantung bendera biarpun telah diarah berbuat demikian sebagaimana kata Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd Rahim Muda.

Kerajaan negeri tetap menggalakkan orang ramai agar menghiasi kawasan kampung dan taman perumahan dengan kibaran bendera sepanjang Bulan Kemerdekaan ini.

Ia sebagai satu usaha menunjukkan semangat cintakan negara, bagaimanapun aktiviti pemasangan bendera perlu mematuhi SOP ditetapkan.

Di samping meraikan semangat bulan kemerdekaan ini, jangan sesekali lupa dan alpa bahawa negara ketika ini dalam medan 'perang besar' menentang musuh tidak kelihatan.

Sama-sama kita hargai perjuangan dan pengorbanan wira-wira negara - petugas barisan hadapan yang cukup besar dalam menuntut 'kemerdekaan' daripada pandemik ini.

Tidak salah jika sambutan bulan kemerdekaan ini diselitkan juga kisah petugas barisan hadapan yang berkorban untuk negara.

*Nik Amirulmumin Nik Min ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang