[DIKEMAS KINI] WALAUPUN belum rasmi peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, persaingan untuk jawatan tersebut kelihatan sengit.
Hari Ahad yang selalunya merupakan hari minggu yang tenang dan santai bagi ramai orang tetapi tidak bagi ahli-ahli politik.
Walaupun Kuala Lumpur masih dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara namun mereka kelihatan sangat sibuk.
Pada sebelah pagi, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Publika yang menempatkan pejabat Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Selepas mesyuarat itu berakhir, Ahli Majlis Pimpinan Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof meminta semua pihak menunggu pengumuman penting hari ini.
Semua media sudah pun melaporkan Muhyiddin bakal letak jawatan.
Kemudian dilaporkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri mengorak langkah untuk mendapatkan sokongan daripada ahli-ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sementara Hamzah pula disebut-sebut sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pakatan Harapan (PH) masih kekal dengan calon mereka iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada beliau mendapat sokongan daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mana pemimpin utama mereka ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.
Umum mengetahui bahawa Dr Mahathir berulang kali menyatakan bahawa beliau tidak boleh menerima Anwar sebagai Perdana Menteri.
Kemudian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam Twitternya meminta supaya Anwar dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal untuk bekerjasama mengembalikan mandat rakyat.
Sudah tentu perkara ini menimbulkan persoalan sama ada Anwar mempunyai sokongan atau tidak.
Sementara UMNO yang diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula masih tidak diketahui hala tuju mereka.
Tetapi umum mengetahui bahawa mereka dengan tegas mengatakan tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP.
Difahamkan ada pihak dalam UMNO mahu mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Perdana Menteri yang akan memimpin negara sehingga pilihan raya umum diadakan.
Mereka mendakwa Ahli Parlimen Gua Musang yang popular dengan panggilan Ku Li itu calon terbaik dan tidak berdepan dengan sebarang kontroversi.
Turut disebut-sebut untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein namun tiada sebarang pergerakan yang dilaporkan pada Ahad.
Bagaimanapun masih belum ada mana-mana pihak yang mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.
Belum dapat dipastikan berapa lama krisis politik negara akan berterusan, lagi lama ia berlanjutan maka usaha menangani Covid-19 akan terbantut.
Hari ini penting dalam sejarah politik negara yang akan menyaksikan sama ada Muhyiddin akan melepaskan jawatan atau sebaliknya.
Mungkin Muhyiddin akan diberikan peluang sama seperti Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri interim sehingga kemelut itu dapat diselesaikan.
Mungkin juga akan berlaku sesuatu yang tidak diduga kerana politik di negara ini memang penuh dengan warna warni dan penuh mendebarkan.
Bagaimanapun, buat masa ini rakyat tidak gembira dengan apa yang berlaku.
Memang ini bukan waktu dan ketika yang sesuai untuk berbalah namun perkara ini berlaku kerana kerajaan yang ada bukanlah sebuah kerajaan yang kukuh.
Dengan majoriti yang rendah, apa sahaja boleh berlaku seperti yang sudah pun terjadi.
Penyelesaiannya hanya ada dua, sama ada terdapat ahli Parlimen yang mempunyai majoriti yang besar atau kita menghadapi pilihan raya dan biar rakyat tentukan pilihan mereka.