KOTA BHARU - Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK) mempunyai kaedah pengumpulan data tersendiri dalam mengendalikan pemberian makanan melalui FoodBank yang disediakan kepada golongan memerlukan.
Pengerusi serta Pengasas KKAK, Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni berkata, KKAK menyediakan borang untuk digunakan pihak pengurusan bagi memudahkan ahli jawatankuasanya memantau apa keperluan sebenar keluarga asnaf yang terlibat.
"Kita sediakan borang, masa mereka datang ambil barang, kita tanda apa yang mereka ambil. Langkah ini amat penting untuk kami di bahagian pengurusan melihat apakah keperluan sebenar kumpulan berkenaan.
"Dari situlah kita boleh keluarkan data berdasarkan apa yang mereka ambil dan saya akan kongsikan di laman Facebook kami supaya memudahkan orang ramai menderma mengikut keperluan semasa.
"Kalau kita sediakan barangan yang mereka tidak perlu, ia akan membazir dan konsep kami adalah tidak mahu simpan stok barangan di rak FoodBank, apa yang ada, kami mahu serahkan kepada mereka yang memerlukan," katanya kepada pemberita di rumah KKAK, di sini pada Isnin.
Menurutnya, sejak dimulakan awal tahun ini, Foodbank Rumah KKAK mendapat sambutan yang mengalakkan daripada golongan B40 yang berdaftar.
Namun katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, mereka yang datang ambil makanan dan barangan di FoodBank Rumah KKAK turut melibatkan kumpulan M40.
Walaupun mengejutkan, Meor Shamshir berkata, namun ia bukanlah sesuatu yang pelik memandang ramai rakyat berdepan pelbagai ujian dalam kehidupan ketika pandemik ini.
"Kita faham dan kita percaya ada hikmah atas semua ini. Cuma kami berharap selepas ini lebih ramai lagi dermawan dan mereka yang suka menyumbang boleh bantu kami untuk bantu kumpulan-kumpulan asnaf ini.
"Pernah satu masa, rak FoodBank ini kosong, duit baki di tangan saya juga kurang sedangkan kami perlu sediakan barangan dan makanan itu untuk lebih 2,000 orang asnaf.
"Saya panggil semua ahli jawatankuasa KKAK berbincang dan fikir bagaimana caranya kami mahu menambah tabung dan penuhkan rak FoodBank. Beberapa hari saya tidak tidur, dan akhirnya ALLAH datangkan saya seorang hamba ALLAH untuk menyumbang menggunakan wang sedekah Subuhnya.
"Alhamdulilah, lega kami sebab ada juga duit dan barangan yang boleh kita berikan kepada asnaf kalau ada yang datang minta duit untuk makanan, beli ubat dan susu untuk anak-anak," katanya.
FoodBank Rumah KKAK bukan sahaja menyediakan makanan dan keperluan dapur, malah ia turut menyediakan pelitup muka, barangan perubatan dan pelbagai lagi.
Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menggunakan laman sosial rasmi KKAK sama ada dengan cara menghantar barang terus, melalui pos ataupun melalui perkongsian perbankan.