Beaufort dijangka capai imuniti kelompok hujung Ogos ini

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Redzuan

BEAUFORT - Beaufort dijangka mencapai imuniti kelompok pada akhir bulan ini berikutan kadar vaksinasi di daerah itu sudah mencecah 91.25 peratus bagi dos pertama vaksin Covid-19.

Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Covid-19) Daerah Beaufort, Dr Redzuan Rodger berkata, Beaufort adalah daerah terpantas menerima vaksin setakat ini.

Iklan
Iklan

"Sehingga semalam (Sabtu), kita sudah mencapai dos satu 91.25 peratus dan dos dua 60 peratus.

"Jadi hujung Ogos ini, kita boleh capai imuniti kelompok dengan 70 hingga 80 peratus dos dua," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Outreach Vaksinasi Mukim Lumadan di Dewan Sri Dayang, di Kampung Lumadan pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, usaha mencapai kadar vaksinasi dengan pantas itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).

"Selain itu, kita juga mempunyai dua dewan (pusat pemberian vaksin) yang boleh laksanakan pemberian vaksin sehingga 1,500 orang setiap hari dan untuk dua dewan hampir 3,000 orang.

Iklan

"Sebab itu kita dapat laju dan apabila di dewan sudah berkurangan (penerima vaksin), kita 'outreach' dan nampak sambutan pun memberangsangkan.

"Orang kampung nampak terbuka hati untuk menerima vaksin apabila keluarga mereka datang menerima vaksin," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam berkata, jumlah populasi di seluruh daerah ini termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Membakut adalah seramai 82,700 orang.

"Menerusi program 'outreach' seperti ini, kita dapat memudahkan penduduk kampung yang masih belum divaksin supaya tidak tercicir.

"Mereka boleh datang sama ada berjalan kaki atau menaiki basikal, jadi ini dapat menjimatkan kos serta tenaga daripada datang ke pusat pemberian vaksin di Pekan Beaufort," katanya.