SABAK BERNAM - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO membantah cadangan menjadikan dewan komuniti sekitar daerah Sabak Bernam di sini sebagai isolasi berpusat bagi pekerja bukan warganegara yang positif Covid-19.
Bantahan itu dikemukakan ADUN Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail dan ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin.
Rizam berkata, beliau telah menerima memorandum bantahan daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Hormat.
Menurutnya, majoriti hampir 500 penduduk di situ menolak cadangan menjadikan Dewan Sungai Air Tawar sebagai pusat isolasi berpusat positif Covid-19 kluster Bagan Sabak.
"Saya ambil maklum kebimbangan penduduk setempat yang gusar dengan cadangan itu kerana dewan tersebut terletak berhampiran dengan Kampung Dato' Hormat dan menjadi laluan utama untuk kegunaan harian penduduk setempat.
"Perkembangan cadangan ini saya amati dan memorandum bantahan ini selari dengan pendapat saya.
"Cadangan isolasi berpusat ini tidak bersesuaian dengan tapak cadangan dan boleh mencetuskan kegusaran orang awam atas situasi harian yang mencecah puluhan ribu kes positif Covid-19 di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebelum menghantar memorandum bantahan di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam.
Rizam yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berharap PDT Sabak Bernam dan pihak berkuasa dapat membuat semula penilaian risiko agar keputusan ini memihak kepada situasi menang–menang agar tiada penularan Covid19 wujud di kawasan sekitar yang berada dalam kategori zon hijau.
"Mengikut pandangan saya, lokaliti isolasi berpusat itu harus dipindahkan dari tempat cadangan ke Institut Perakaunan Negara (IPN) atau Institut Latihan dan Sakwah Selangor (ILDAS) yang lebih jauh dari kawasan kampung dan terpencil," katanya.
Mohd Imran pula berkata, beliau telah menerima banyak aduan, rungutan dan keresahan dalam kalangan rakyat dan penduduk di DUN Sungai Panjang.
Katanya, dua dewan terbabit ialah di Dewan Dato' Muhd Fauzi Pasir Panjang dan Dewan Kampung Hala Cara Baru, Parit 16 Sungai Panjang.
Jelas beliau, cadangan menempatkan warga asing di dewan komuniti bukanlah tindakan yang sesuai ketika rakyat perlu akur dengan sekatan pada Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk sentiasa berada di rumah jika tidak ada keperluan keluar.
"Adalah lebih baik jika dewan komuniti tersebut dan kakitangan kerajaan yang akan dimobilisasi nanti digunakan untuk membuka pusat pemberian vaksin tambahan bagi mempercepatkan lagi kadar vaksinasi di daerah Sabak Bernam," ujarnya.
Mohd Imran yang juga pengamal undang-undang berkata, dalam hal ini tidak wajar pihak pentadbiran seolah-olah mengambil tanggungjawab pihak majikan untuk penyediaan penginapan pekerja bagi tujuan isolasi.
"Pihak pentadbiran tidak mempunyai tanggungjawab dan tiada punca kuasa yang jelas untuk memutuskan penyediaan dewan komuniti sebagai pusat operasi warga asing dan menjadi satu kesalahan kerana dewan tersebut tidak mempunyai warta sah sebagai pusat kuarantin di bawah mana-mana undang-undang sedang berkuatkuasa.
"Majikan digesa bertanggungjawab menyediakan kemudahan penginapan dan tempat tinggal bagi pekerja seperti mana yang telah digariskan dalam Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan kegagalan menyediakan kemudahan tersebut suatu pengabaian dan kesalahan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Sabak Bernam, Amri Ismail berkata, langkah-langkah menjadikan dewan komuniti sebagai pusat isolasi sementara bertujuan memastikan wabak tidak menular dengan cepat terutama dalam kalangan rakyat tempatan.
"Kita sedar mungkin cadangan ini tidak disenangi oleh rakyat tempatan tetapi kita kena tahu bahawa pandemik ini tidak mengenal sama ada rakyat tempatan atau warga asing.
"Langkah yang kita cadangkan ini adalah untuk mengurangkan risiko merebak, selain mengelakkan mereka yang positif Covid-19 ini bercampur dengan penduduk sama ada yang tinggal di kawasan bagan dan kampung," katanya.