KPM perkenal garis panduan baharu permohonan pertukaran guru

Iklan
Mohd Radzi ketika bercakap menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Faceboknya pada Isnin.

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan garis panduan baharu permohonan pertukaran guru yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Menterinya, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, garis panduan baharu ini akan menggantikan Surat Pekeliling Iktisas (SPI) pertukaran guru tahun 1975.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, langkah tersebut diambil sebagai usaha untuk menyesaikan isu yang telah berlarutan sejak sekian lama itu.

"Insya-ALLAH dalam garis panduan baharu ini banyak penambahbaikan yang kita perkenalkan antaranya ialah kita akan membenarkan permohonan pertukaran guru sepanjang tahun.

Iklan

"Itu merupakan salah satu penambahbaikan yang diperkenalkan.

Banyak lagi penambaikan yang akan dilaksanakan dalam konteks pertukaran guru ini," katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, penjelasan lanjut berkaitan dengan garis panduan baharu ini akan dibuat oleh kementeriannya dalan masa yang terdekat.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, pihaknya banyak menerima rayuan guru berkaitan dengan permohonan pertukaran mereka.

Katanya, ramai yang memohon supaya permohonan pertukaran tahun 2021 ini diproses seiring dengan pengambilan guru baharu secara 'one-off' yang telah diumumkan oleh KPM baru-baru ini.

"Untuk makluman guru sekalian sememangnya itulah hasrat KPM iaitu sebelum kita menempatkan 18,702 guru baharu daripada pengambilan 'one-off' ini kita akan cuba menyelesaikan sebanyak mungkin permohonan pertukaran untuk tahun 2021.

"Namun begitu terdapat beberapa perkara utama yang kita ambil kira dalam mempertimbangkan sebarang permohonan pertukaran," katanya.

Jelasnya, antara perkara yang diambil kira untuk dipertimbangkan adalah kekosongan jawatan di negeri yang dipohon dan keperluan opsyen di negeri yang dipohon.

"Dua perkara ini merupakan perkara asas yang diambil kira oleh kementerian dalam menimbang sebarang permohonan pertukaran.

"Jika ada kekosongan jawatan di negeri tersebut tetapi tidak ada kekosongan atau keperluan opsyen yang berkaitan di negeri terbabit, maka permohonan dalam konteks ini amat sukar untuk dipertimbangkan," katanya.

Ujarnya, KPM sememangnya sedar mengenai cabaran yang dihadapi oleh guru dalam konteks memohon pertukaran ini dan pihak kementerian telah meneliti perkara berkaitan pertukaran guru ini secara menyeluruh.

"Kita di KPM komited untuk memastikan bahawa kami dapat melaksanakan yang terbaik dalam menjaga kebajikan guru," katanya.