Polis Selangor tumpaskan kegiatan haram Datuk Ken

Iklan
Arjunaidi (kiri) menunjukkan antara kenderaan yang dirampas.

SHAH ALAM - Sindiket kegiatan haram yang didalangi seorang individu digelar Datuk Ken berjaya ditumpaskan dalam serbuan dan tangkapan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor bersama Unit AMLA Bukit Aman pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, individu ini dipercayai menjadi dalang utama sindiket pinjaman wang tidak berlesen, judi dalam talian serta perlombongan wang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek berjaya ditahan susulan operasi yang dijalankan pada 6 Julai lalu ke atas empat buah rumah di Country Homes, Rawang dan berjaya menahan 13 individu dipercayai menjalankan aktiviti mempromosikan perjudian dalam talian (judi online).

"Suspek yang dikenali sebagai Datuk Ken berumur 40 tahun itu ditahan bersama isterinya berumur 41 tahun di sebuah rumah di Rawang.

Iklan

"Kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian (judi online) dan unit AMLA Bukit Aman pula menjalankan siasatan berkaitan pengubahan wang haram ke atas kedua-dua individu terbabit," katanya pada sidang akhbar di perkarangan Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin.

Arjunaidi menunjukkan antara barangan yang dirampas.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, hasil siasatan yang telah dijalankan, sindiket ini didapati menjalankan pelbagai aktiviti haram termasuk memberi pinjaman wang tanpa lesen (ah long), penglibatan dalam kegiatan judi online selain turut turut dikesan mencuri bekalan elektrik untuk menjalankan perlombongan bitcoin.

Iklan

Beliau berkata, polis turut mengesan beberapa taktik dan modus operandi yang dijalankan sindiket ini.

"Menerusi kegiatan ah long, sindiket ini menawarkan pinjaman kepada kenalan rapat serta ahli perniagaan sahaja dengan mengenakan kadar faedah sekitar lapan

hingga 10 peratus sebulan.

"Kegiatan ini mula dijalankan dari tahun 2014 dan sindiket ini memperolehi keuntungan sekitar RM2 juta setahun," katanya.

Jelasnya, menerusi modus operandi perlombongan bitcoin pula, sindiket dipercayai membuat sambungan pendawaian elektrik secara haram bagi tujuan perlombongan bitcoin di premis perniagaan yang kurang menjadi tumpuan orang ramai.

"Siasatan dijalankan mendapati kegiatan bermula dari tahun 2020 dan sindiket memperolehi keuntungan sebanyak RM 800,000 sebulan.

"Kegiatan perlombongan bitcoin ini telah mengakibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian melebihi jutaan ringgit sebulan," katanya.

Tambahnya, bagi kegiatan bitcoin, sindiket dikesan menyediakan rumah atau pejabat bagi kegunaan setiap pekerjanya untuk menguruskan kegiatan perjudian (judi online) secara 24 jam sehari.

"Sindiket juga dikesan menggunakan media sosial seperti facebook, Instagram, Wechat dan WhatsApp sebagai medium utama untuk mempromosikan aktiviti perjudian mereka.

"Sindiket telah beroperasi bermula dari tahun 2016 disekitar Selangor, Perak, Pahang, Sabah dan memperolehi keuntungan sehingga RM6 juta setahun," katanya.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, hasil daripada tangkapan ini Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan unit AMLA Bukit Aman telah berjaya merampas dan menyita pelbagai barangan termasuk kenderaan.

"Antara yang dirampas termasuk 14 buah kenderaan pelbagai jenama, 14 unit rumah, tiga unit rumah kedai, wang tunai termasuk mata wang asing.

"Selain itu tindakan juga melibatkan pembekuan 71 akaun bank yang mana anggaran jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah hampir RM 33 juta," katanya.

Jelasnya, pihaknya turut mengesan dua lagi individu dipercayai terlibat dalam sindiket ini iaitu Chuah Seong Hooi, 48 dan Heow Hee Soon,31 untuk membantu siasatan melibatkan sindiket ini.

"Orang ramai, sekiranya mempunyai sebarang maklumat sila salurkan kepada balai polis berhampiran ataupun pegawai penyiasat iaitu Inspektor Shahriman Mat Junus di talian 012-3480281," katanya.