GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang merekodkan 149 laporan berhubung penipuan tawaran kerja melibatkan kerugian RM1.21 juta sejak Januari hingga 14 Ogos tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, daripada jumlah laporan itu, sebanyak 107 telah dibuka kertas siasatan.
Menurutnya, polis mendapati, ahli sindiket penipuan menggunakan modus operandi itu sebagai helah terbaharu untuk menipu mangsa.
"Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan tawaran kerja melalui aplikasi Whatsapp, Instagram atau Facebook dan mangsa yang berminat akan menekan pautan yang diberikan.
"Pautan itu menggunakan logo platform membeli belah dalam talian (e-dagang) seperti Zalora, Shopee, Lazada dan sebagainya. Mangsa yang berminat dengan tawaran kerja tersebut akan diarahkan untuk membeli barangan di platform e-dagang itu.
"Mangsa dijanjikan komisen lapan hingga 15 peratus bergantung kepada jumlah pembelian barang terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa seterusnya diarahkan untuk membuat pembayaran bagi pembelian produk yang diiklankan itu ke akaun bank yang dipercayai milik keldai akaun.
"'Mangsa dijanjikan akan menerima semula wang mereka beserta komisen dalam tempoh 10 hingga 15 minit selepas pembayaran dibuat. Bagi pembelian pada harga murah, mangsa akan menerima wang dan komisen seperti dijanjikan.
"Bagaimanapun, selepas membuat pembelian dalam jumlah dan nilai yang tinggi, mangsa bukan sahaja tidak menerima wang serta komisen malah talian mereka disekat daripada menghubungi sindiket tersebut," ujarnya.
Mohd Rosni berkata, daripada laporan yang diterima, 66 kes melibatkan wanita manakala bakinya adalah lelaki.
Katanya, berdasarkan kes yang dilaporkan, 35 mangsa adalah terdiri daripada pelajar universiti dan pekerja swasta yang berusia lingkungan 24 hingga 33 tahun.
"Kita percaya, dengan keadaan negara dilanda pandemik Covid-19, ramai yang kehilangan kerja menyebabkan mereka terdesak untuk mendapatkan kerja sehingga tidak menyedari ditipu.
"Kerugian paling tinggi yang dicatatkan dalam satu kes melibatkan puluhan ribu ringgit. Kami masih menyiasat sindiket ini dan belum dikenalpasti. Bagaimanapun, mereka ini menggunakan akaun keldai untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Setakat ini, kita berjaya menahan beberapa suspek yang dipercayai pemilik keldai akaun ini.
"Pembayaran yang dibuat mangsa bukan untuk pembelian, tetapi bertujuan menaikkan rating barangan tersebut di dalam platform e-dagang berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang Januari hingga 14 Ogos tahun ini, berlaku peningkatan kes melibatkan jenayah siber di Pulau Pinang dengan melibatkan kerugian RM54.17 juta berbanding RM29.94 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, sebanyak 1,767 kes membabitkan jenayah siber dicatatkan berbanding 1,252 kes pada tahun lalu.
"Dalam tempoh sama juga, sebanyak 518 kes dilaporkan bagi penipuan Macau scam dengan kerugian RM9.1 juta, E-dagang dengan 586 kes (kerugian RM3.9 juta), parcel / love scam (283 kes, kerugian RM3.5 juta), pelaburan tidak wujud (283 kes, kerugian RM3.09 juta), pelaburan (284 kes, kerugian RM34.3 juta).
"Penipuan melibatkan kes pelaburan pula meningkat secara drastik iaitu 277.9 peratus, kes e-dagang juga meningkat sehingga 68.3 peratus, parcel/ love scam (45.5 peratus) manakala
kes melibatkan Macau Scam pula menurun iaitu 28.3 peratus dan pelaburan tidak wujud juga menurun pada 3.9 peratus," jelasnya.