KUALA TERENGGANU - Mereka yang berhasrat untuk mencari jodoh melalui aplikasi Baitul Urus tidak perlu bimbang dengan privasi kerana maklumat tentang mereka adalah rahsia dan tidak didedahkan kepada umum.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, oleh itu individu yang mahu mencari pasangan digalakkan mendaftar dalam aplikasi tersebut.
"Mungkin ada yang ragu-ragu dan malu untuk daftar, tapi jangan bimbang kerana maklumat mereka adalah rahsia. Bila pasangan sudah capai persetujuan kita akan aturkan pertemuan mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, program yang diuruskan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu menjadi platform kepada golongan belum berkahwin dan ibu serta bapa tunggal mendapatkan jodoh secara cepat, mudah dan bersesuaian mengikut kemahuan serta kriteria.
Jelas Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, sejak dilancarkan pada 12 Ogos lalu, terdapat enam peserta lelaki sudah mendaftarkan diri masing-masing dalam Baitul Urus.
"Kita akan melakukan promosi dengan lebih agresif melalui media, media sosial dan agensi-agensi kerajaan bagi memastikan maklumat mengenai program ini dapat disebarkan lebih meluas kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, Baitul Urus boleh disertai oleh semua individu bujang berusia 21 tahun ke atas kecuali lelaki yang sudah berkahwin dan mereka yang berminat boleh menghantar penyertaan melalui pautan laman sesawang https://baitulurus.ypkt.gov.my.
"Selain fenomena kahwin lambat dalam kalangan golongan muda yang membimbangkan, terdapat kira-kira 35,000 ibu tunggal di Terengganu.
"Jadi saya harap program ini dapat membantu mereka yang berhasrat berumahtangga atau berkahwin semula,” katanya.