GEORGETOWN - Sembilan buah bot nelayan asing dari Indonesia yang dikesan menceroboh perairan negara pada 12 hingga 14 Ogos lalu diusir keluar oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, sembilan bot nelayan asing itu dikesan Kapal Maritim (KM) Kimanis ketika melaksanakan rondaan OP Benteng/ OP Tanjung di perairan negeri itu.
Menurutnya, bot pertama bersama empat kru warga Indonesia termasuk tekong diusir sekitar 28 batu nautika barat daya Pulau Pulau Kendi pada 12 Ogos kira-kira jam 2.30 petang.
"Pada 13 Ogos sekitar jam 12.30 tengahari pula, lima buah bot nelayan asing Indonesia bersama 15 kru dikesan dan diusir keluar di kedudukan di antara 55 ke 59 batu nautika barat daya Pulau Kendi.
"Sehari kemudian, tiga lagi buah bot nelayan asing Indonesia dikesan dan diusir keluar di kedudukan 43 batu nautika barat daya Pulau Kendi sekitar jam 4.20 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Abd Razak berkata, kesemua bot nelayan Indonesia itu diusir sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.
Menurut beliau, pengusiran terhadap nelayan asing itu merupakan tindakan semasa dalam mencegah dan mengekang penularan Covid-19 khususnya melalui kes import yang dibawa oleh warga asing.
Tambah beliau, orang awam dan komuniti maritim diminta bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat ke talian NTF 011- 6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146.