SHAH ALAM - Presiden Amanah, Mohamad Sabu mendakwa kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah balasan atas pengkhianat pemimpin tertentu terhadap Pakatan Harapan (PH) yang dipilih secara sah oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menurut beliau, pengkhianatan itu merosakkan sistem demokrasi, maka ia tidak boleh dibiarkan berterusan atau berulang lagi.
"Sejak kemerdekaan pada tahun 1957, negara telah melalui sebanyak 14 kali PRU sebagai satu proses pemilihan kepimpinan negara.
"Parti-parti politik akan bersaing merebut pengaruh dan mendapatkan sebanyak mungkin sokongan daripada rakyat dan parti yang mendapat undian tertinggi akan dikira sebagai pemenang.
"Parti atau gabungan yang mempunyai paling ramai wakil akan membolehkan mereka untuk membentuk kerajaan dan pihak kalah pula akan berusaha lagi mendapatkan sokongan dalam PRU seterusnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, proses tersebut diterima pakai oleh rakyat sejak merdeka dan masih memerlukan penambahbaikan dan secara umumnya sistem demokrasi itu yang diterima oleh semua.
Tambah beliau, pada Februari 2020, sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya telah dijatuhkan melalui pengkhianatan wakil-wakil rakyat yang melompat parti.
"Jika dalam peperangan, pengkhianat akan dihukum bunuh kerana pengkhianatan akan merosakan sistem demokrasi.
"Pengkhianatan atau mencuri mandat rakyat di tengah jalan seperti yang dilakukan tidak boleh dibiarkan kerana jika 40 orang ahli parlimen berjaya dibeli oleh kuasa luar setiap penggal, tentunya kedaulatan negara akan tergadai
"Tiada jalan lain kepada pengkhianat melainkan kembali ke pangkal jalan dan berusaha memperbaiki kesilapan tersebut sesungguhnya Tuhan Maha Pengampun dan Maha Penyayang,” ujarnya.