KUCHING - Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Sarawak dilancarkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
Dalam amanatnya, Abang Johari berkata, ketika negara sedang berhadapan dengan Covid-19, rakyat seharusnya mengibarkan Jalur Gemilang dengan ikhlas serta bersedia untuk berkhidmat dan berkorban untuk negara dalam menangani pandemik ini.
"Kita (rakyat Malaysia) mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan di seluruh negeri yang telah berkhidmat bertungkus lumus dan mengorbankan segala kepentingan diri dan keluarga untuk memastikan kita semua selamat daripada jangkitan dan musibah Covid-19.
"Perjuangan kita belum lagi selesai dan masih berterusan. Namun, kami di peringkat kerajaan negeri sentiasa memandang serius betapa perlu usaha keras digemblengkan dari masa ke masa sehingga situasi dalam negeri ini kembali normal pada masa mendatang,” katanya.
Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengarah Penerangan Sarawak, Swady Guliling, merupakan antara 100 hadirin yang hadir di majlis itu.
Berikutan pandemik Covid-19, majlis pelancaran turut disiarkan secara penstriman langsung di aplikasi Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Facebook Jabatan Penerangan (Japen) Sarawak dan di akaun TikTok jabatan itu bagi membolehkan jutaan rakyat negeri ini menontonnya.
Antara pengisian pada majlis pelancaran itu adalah amanat ketua menteri, tayangan video patriotik, simbolik penyerahan Jalur Gemilang dan acara pelepasan Konvoi Jalur Gemilang yang disertai 22 kenderaan dari pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Agensi yang menyertai konvoi adalah Japen Sarawak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, RTM, polis, Pos Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bernama dan Perbadanan Filem Nasional (Finas).
Konvoi ini melalui perjalanan sejauh 34.4 kilometer mengelilingi bandar raya ini yang bermula dari Bangunan DUN Sarawak kemudian menyusuri Jalan Astana dan beberapa jalan utama sebelum berakhir di Jalan Diplomatik di Petra Jaya.
Selain itu, Japen Sarawak turut menganjurkan pelbagai program sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) yang kekal bertemakan"Malaysia Prihatin bagi menghargai kesungguhan dan ketabahan semua warga Malaysia serta keprihatinan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.
Antara program yang dianjurkan jabatan itu adalah pertandingan Selfie Wefie melalui Facebook rasmi mereka dan TikTok Merdeka di akaun TikTok Khabar Dari Sarawak Japen.
Kedua-dua pertandingan akan dilancarkan Rabu ini dengan menawarkan hadiah berupa wang tunai dan sijil digital. - Bernama