SHAH ALAM - Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri jelas menunjukkan dirinya adalah seorang negarawan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sejak awal lagi, Ahli Parlimen Pagoh itu mahukan kestabilan politik untuk membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memerangi Covid-19.
Beliau berkata, namun malangnya ada pihak berkepentingan peribadi yang rakuskan kuasa terus menerus merosakkan kestabilan itu.
"Jasa Muhyiddin sebagai Perdana Menteri adalah jelas. Program vaksinasi kebangsaan berjalan dengan baik sehingga aktiviti ekonomi sudah boleh dibuka semula secara berperingkat dan dijangkakan imuniti kelompok akan dicapai tidak lama lagi.
"Ekonomi negara juga dijangka berkembang semula bermula tahun hadapan. Jumlah bantuan yang diberikan oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin kepada rakyat pula sudah mencecah rekod yang tidak pernah disaksikan sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: Letak jawatan Perdana Menteri kerana tuntutan Perlembagaan: Muhyiddin
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, situasi itu menunjukkan bahawa landasan yang disediakan oleh Muhyiddin jelas.
"Pemimpin kerajaan selepas ini boleh menjangka kejayaan akan datang yang merupakan hasil usaha dan landasan yang disediakan oleh Muhyiddin selama ini," katanya.
Pada masa sama, pihak Bersatu menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Katanya, beliau yakin rakyat keseluruhan amat menghargai jasa-jasa Muhyiddin.
"Bagi pihak Bersatu, saya mengucapkan terima kasih kepada semua mesej-mesej sokongan yang disuarakan oleh rakyat kepada Muhyiddin," ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sedang bermesyuarat secara dalam talian mengenai langkah seterusnya.
"Ahli-ahli Bersatu diseru bertenang dan memberi kepercayaan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi. Saya jangka Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan membuat pengumuman setelah keputusan dicapai," katanya.