IPOH -"Saya bersyukur, akhirnya dapat divaksin kerana sudah lama menunggu giliran, tambahan pula isteri saya sedang sarat mengandung," kata pekerja penghantar makanan, Ahmad Shahidan Abdul Rahman, 34.
Dia yang ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini merupakan antara 59 penghantar makanan Food Panda yang ditawarkan menerima vaksin pada Isnin.
Pemberian vaksin itu adalah di bawah Program Vaksinasi Rider Food Panda kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama PGA Ulu Kinta.
Ahmad Shahidan berkata, inisiatif program itu melegakan dirinya yang sebelum ini khuatir dengan keselamatan anak berusia tiga tahun dan isteri yang mengandung tujuh bulan memandangkan rutin kerja yang berisiko.
Menurutnya, kerja sebagai penghantar makanan menuntut mereka pergi ke lokasi berisiko jangkitan wabak dan bertemu dengan ramai orang termasuk individu yang sedang menjalani kuarantin di rumah.
"Sebab itu saya sangat-sangat perlukan vaksin sebagai perlindungan, sekurang-kurangnya rasa lebih selamat keluar bekerja dan balik ke rumah.
"Saya sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera sejak Februari lalu, tetapi masih tidak mendapat tarikh janji temu sehinggalah terpilih untuk menerima vaksin melalui program ini. Saya ucap terima kasih kerana akhirnya diberi peluang," katanya.
Bagi Jumalisa Baharudin, 39, pula, pelaksanaan program vaksin khusus untuk penghantar makanan itu perlu diteruskan bagi menjamin keselamatan diri dan kelangsungan meneruskan pekerjaan.
Katanya, majoriti mereka menjadikan pekerjaan itu sebagai pendapatan utama dengan masing-masing sudahn berkeluarga dan tinggal bersama ibu bapa.
"Saya tinggal bersama ibu bapa, mujurlah mereka telah lengkap vaksinasi. Tanggungjawab saya pula untuk pastikan saya juga telah divaksin supaya keselamatan dan kesihatan kami di rumah lebih terjamin," katanya.
Hadir sama meninjau proses vaksinasi berkenaan adalah Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman.
Dalam pada itu, Penyelaras Program Vaksinasi Rider Food Panda, Azizal Naziri berkata, terdapat hampir 1,000 pekerja penghantar makanan di seluruh negeri masih belum menerima tarikh janji temu di aplikasi MySejahtera.
Menurutnya, keadaan itu mendorong mereka menggerakkan inisiatif menghantar permohonan secara rasmi ke PPV berhampiran agar proses vaksinasi dapat disegerakan.
"Alhamdulillah hasil usaha ini, kumpulan pertama seramai 42 orang telah menerima suntikan vaksin di PPV Stadium Indera Mulia semalam (Ahad) dan hari ini (Isnin) kumpulan kedua membabitkan 59 orang di sini.
"Senarai nama menunggu masih ramai dan akan usahakan agar program ini dapat diteruskan bersama PPV yang lain pula sekiranya permohonan kami nanti diterima," katanya.
Beliau mengakui, mereka juga tidak terkecuali menjalani perintah kuarantin sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini dan pada minggu lepas sahaja, seramai enam penghantar makanan di Ipoh diwajibkan menjalani kuarantin kerana dijangkiti Covid-19 ketika bertugas.
"Sebab itu pentingnya vaksin dipercepat kerana apabila terjadi situasi terkena wabak dan kena kuarantin, bermakna mereka langsung tidak boleh bekerja dan tiada pendapatan," katanya.