KUALA LUMPUR - Penjualan dan pengeluaran kenderaan bermotor untuk dua bulan setengah terakhir terjejas teruk apabila kilang pengeluaran kenderaan, pusat pengedaran dan pusat penjualan terutama di Lembah Klang ditutup sejak 1 Jun 2021.
Berdasarkan statistik terkini Persatuan Automotif Malaysia (MAA), penjualan masing-masing hanya 1,921 unit dan 7,086 unit bagi bulan Jun dan Julai 2021.
"Bagi memberi perspektif keseluruhan, jualan purata atau lebih dikenali sebagai jumlah keseluruhan industri (TIV) adalah di antara 45,000 hingga 50,000 unit sebulan.
"Demikian juga, jumlah pengeluaran industri yang dicapai pada bulan Jun dan Julai 2021 masing-masing hanya 276 unit dan 2,775 unit sementara jumlah purata keseluruhan pengeluaran di antara 40,000 unit dan 50,000 unit sebulan," kata Presiden Datuk Aishah Ahmad dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, yang paling teruk terjejas adalah ahli MAA yang memiliki pusat pengedaran lebih kecil yang pendapatannya hanya bergantung sepenuhnya kepada jualan kenderaan baharu.
Aishah berkata, sebahagian besar daripada mereka berhadapan masalah aliran tunai yang teruk dan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan pekerja terutama bahagian penasihat jualan.
"Pada masa ini, ahli MAA mempunyai sekitar 1,300 wakil penjual kenderaan di seluruh negara. Jumlah kerugian dalam tempoh dua bulan terakhir melebihi RM14 bilion.
"Ini hanya daripada penjualan kenderaan di pasaran domestik. Ahli kami juga alami kerugian yang banyak dari segi pendapatan eksport kenderaan dan komponen, dan jualan alat ganti di dalam negara,” katanya, sambil menambah secara keseluruhan, kerugian ini sangat besar dan belum pernah terjadi sebelumnya. - Bernama